Sabtu, 29 April 2017

Tarik diri daripada bertanding hakis demokrasi dalam PAS

Bernama

Sikap berkenaan akan merugikan PAS apabila mereka yang layak tidak dapat diketengahkan bagi memberi idea dan pandangan untuk kebaikan parti.

ALOR SETAR: Sikap suka menarik diri daripada bertanding jawatan penting PAS, akan menghakis amalan demokrasi dalam parti, kata Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz

Nik Mohd Abduh, yang berucap atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda PAS, berkata sikap berkenaan akan merugikan PAS apabila mereka yang layak tidak dapat diketengahkan bagi memberi idea dan pandangan untuk kebaikan parti.

“Ramai yang layak tapi suka tarik diri, janganlah tarik diri berilah peluang perwakilan sendiri yang memilih, saya bimbang yang tak tarik diri itu dia rasa serba salah pula.

“Walaupun tindakan itu tidak salah, tapi saya mahu ia bukan jadi amalan kita kerana dibimbangi menyebabkan suasana demokrasi dalam PAS terjejas, ” katanya dalam ucapan penangguhan ketua Pemuda PAS pada Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-58, di Kompleks PAS Kedah, di sini hari ini.

Nik Mohd Abduh melepaskan jawatan itu untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa Pusat PAS pada muktamar kali ini dan memberi laluan kepada muka baharu menerajui sayap parti itu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat bagi sesi 2017-2019.-Bernama

Tiada ulasan: