Jumaat, 28 April 2017

Putus tahaluf siyasi mungkin tidak serta-merta - Penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic

SHAH ALAM: PAS digambarkan tidak akan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta, demikian pendapat penganalisis politik, Dr Salawati Mat Basir.

Menurutnya, PAS perlu memikirkan strategi baru bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dengan ketiadaaan rakan seteru mereka itu lagi.

“Saya rasa dia (PAS) tak buat secara mendadak, kita tahu sebenarnya dah lama juga kita tengok daripada 2015 pertikaian PKR-PAS dah mula dengan adanya Datuk Seri Azmin Ali, macam menyindir-nyindir kepada Datuk Seri Hadi Awang, benda tu macam ‘prolog’, berpanjangan dan sebagainya hinggalah kepada keadaan di mana PAS bertindak keluar daripada Pakatan, itu kemuncak lah.

“Jadi yang menjadi isunya ialah sejauh mana persediaan mereka untuk menghadapi pilihan raya, sebab kita selalu cakap tentang pilihan raya, adakah PAS boleh berseorangan dan kita melihat PAS memberikan satu bayangan bahawa mereka tidak mahu masuk dalam Pakatan, mereka mahu bersendirian.”

Namun katanya, PAS dilihat sudah lama bersedia untuk bergerak secara sendirian selepas membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP dahulu.

“PAS sudah bersedia, dia sudah bersedia. Agak berat hati mereka untuk bersama sebab mereka memang dah berpatah arah untuk bersama dengan DAP dan sekarang mereka mahu berpatah arah dengan PKR, dengan PAN (Amanah) lagi la tidak kan, jadi dengan BERSATU (PPBM) pun seolah-olahnya tidak juga, sebab Tun Mahathir pun dah bagi kata dua dengan mereka. Mereka tidak suka begitu, jadi saya rasa memang PAS bersedia bergerak sendirian kali ini.”

Sayap Ulama dan Pemuda PAS meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR pada Muktamar kali ke-63 yang sedang berlangsung di Alor Setar sejak semalam.

Usul itu bagaimanapun akan dibawa ke peringkat PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.

Sekiranya peringkat tertinggi membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, ia bakal menyaksikan pertembungan di antara dua parti itu pada pilihan raya akan datang.

PAS sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP, selepas ia terus menerus melontarkan serangan terhadap Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan parti itu, terutama bersabit cadangan pelaksanaan hudud.


Tiada ulasan: