Ahad, 23 April 2017

Pukul pelajar: Madrasah sedia bekerjasama

Bernama

Pengetua madrasah tahfiz itu berkata, kejadian yang berlaku itu merupakan atas tindakan individu dan bukan madrasah.

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan madrasah tahfiz yang terlibat dengan kes pukul pelajar lelaki menggunakan getah paip oleh pembantu warden baru-baru ini sedia bekerjasama dan memberikan maklumat lengkjap kepada pihak berkuasa.

Pengetua madrasah tahfiz itu berkata, kejadian yang berlaku itu merupakan atas tindakan individu dan bukan madrasah.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan bekas pembantu warden itu juga sudah melebihi batas dan melanggari dasar yang ditetapkan di madrasah yang terletak di Kota Tinggi, Johor tersebut.

“Madrasah ini tempat mendidik manusia, anak-anak yang datang sini diajar untuk menjadi baik. Selaras dengan dasar kami yang mahu mendidik mereka dengan kasih sayang.

“Apabila berlaku kejadian seperti ini ia merupakan hal individu dan dalam hal ini dasar kita tidak diikuti.

Pihak madrasah tidak akan menyorokkan apa-apa maklumat kerana keutamaan madrasah ada pelajar kita,” katanya, memetik laporan Sinar Online, hari ini.

Tambahnya, sebagai sebuah madrasah yang diiktiraf cemerlang di daerah ini dan akan mewakili peringkat negeri bagi pengiktirafan tersebut, pihaknya tidak sesekali bertolak ansur dan berlapang dada apabila berlakunya perkara seperti itu.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan, pihak madrasah juga sudah dilawati oleh pegawai penyiasat, jabatan agama dan pelbagai pihak dan mereka sedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya.

Pihaknya juga sedia menyerahkan rakaman litar tertutup (CCTV) kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Beliau memaklumkan sebanyak 24 CCTV dipasang di sekitar kawasan asrama dan sekolah termasuklah dewan makan, gelanggang futsal sekali gus hampir tiada kawasan ‘blind spot’ yang tidak dapat dirakam di madrasah berkenaan.

Jelasnya, pembantu warden berkenaan yang baru bekerja setahun berperanan membantu seorang warden di madrasah berkenaan terutamanya apabila berlaku hal kecemasan pada waktu malam.

“Kami harap madrasah ini akan diberi ruang kerana di sini kita bukan sekadar menjaga anak-anak, ibu bapa penjaga malahan hati masyarakat disini juga.

“Kita tidak mahu persepsi negatif terkesan kepada nama baik kampung. Tambahan pula madrasah ini berdiri atas niat baik umat islam. Insha-ALLAH dalam masa terdekat ini kita akan adakan sidang media selepas laporan penuh dari pihak polis dan hospital diterima,” katanya lagi.

Madrasah yang sudah tujuh tahun beroperasi mempunyai seramai 110 pelajar berusia 11 hingga 17 tahun dengan jumlah kakitangan seramai 15 orang termasuklah enam orang guru.

Tiada ulasan: