Jumaat, 28 April 2017

PKR tidak berhak desak Exco PAS letak jawatan di Selangor

Oleh Ainor Rahim & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Pemuda PAS berkata PKR tidak berhak mendesak tiga ahli Exco kerajaan negeri Selangor daripada parti itu letak jawatan sekiranya Majlis Syuara Ulama memuktamadkan untuk memutuskan tahalauf siyasinya dengan PKR.
 
Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tiga Exco itu tidak dilantik oleh PKR mahupun DAP tetapi 'masing-masing bekerja untuk rakyat'.
 
"Kalau Exco PAS bekerja untuk rakyat dan amanat dari parti dan tidak ada sebab PAS untuk mengikut telunjuk pimpinan PKR," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
 
Khalil berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan, jika benar PAS mahu memutuskan hubungan tahaluf siyasi itu, adalah lebih baik Exco daripada parti pimpinan Datuk Seri Abd Hadi Awang itu berundur dari Selangor.
 
Saifuddin berkata demikian susulan keputusan Dewan Ulama PAS meluluskan usul putus hubungan itu tanpa membahaskannya malam tadi.

Awal hari ini, sebagaimana keputusan Dewan Ulama PAS, Muktamar Dewan Pemuda turut meluluskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Usul yang diluluskan di peringkat sayap itu bagaimanapun akan dibawa ke peringkat PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.

PAS masih sebahagian daripada pentadbiran Selangor, walaupun parti itu enggan menyertai Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR dan DAP, yang juga merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Tiga exco dari PAS ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.


Tiada ulasan: