Sabtu, 29 April 2017

PKR masih harap PAS tidak putuskan tahaluf siyasi

Oleh Shuhaniza Said & Ainor Rahim
Post Pic
 
ALOR SETAR: PKR tetap mengharapkan PAS meneruskan tahaluf siyasi sungguhpun wujud desakan daripada sayap Pemuda dan Ulama parti itu agar memutuskan hubungan kerjasama politik mereka.
 
Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, tahaluf siyasi kedua-dua parti wajar dikekalkan mengambil kira hubungan yang sudah terjalin selama 18 tahun.
 
"PKR kita sudah berada dengan PAS sejak 18 tahun jadi kami merasakan ianya wajar dikekalkan kerana ianya merupakan penghubung antara PKR dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika ditemui pemberita selepas pembukaan Muktamar PAS Pusat kali ke-63 hari ini.
 
Bagaimanapun katanya, PKR akan menunggu keputusan akhir yang akan dibuat Majlis Syura Ulama PAS.
 
"Itu keputusan yang akan dibuat PAS jadi terpulang kepada PAS untuk buat keputusan walaupun telah diputuskan sayap Pemuda dan Ulama, tapi keputusan akhir akan diputuskan Majlis Syura.
 
"Bagi kami, kami telah bersama PAS selama 18 tahun sejak tahun 1999 lagi dan sejak itu kita masih kekalkan tahaluf siyasi," kata beliau.
 
Shaharuddin berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Muktamar Dewan Ulama PAS dan Dewan Pemuda PAS yang meluluskan usul putus hubungan dengan PKR tanpa bahas, kelmarin dan semalam.
 
Bagaimanapun usul tersebut akan diangkat ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan. 
 
Keputusan itu, jika diluluskan, akan menyebabkan berlakunya pertembungan kerusi dengan PKR yang menganggotai PH bersama DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 
 
Merumitkan keadaan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam pula menggesa exco PAS dalam kerajaan Selangor meletak jawatan sekiranya muktamar parti itu membuat keputusan menamatkan hubungan dengan PKR.
 
Saifuddin mendakwa, tidak masuk akal sekiranya PAS yang sudah memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah, masih mahu kekal dalam kerajaan Selangor setelah putus dengan PKR.
 
Mengulas mengenai kenyataan Saifuddin itu, Shaharuddin menyifatkan kenyataan tersebut hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili PKR.
 
"Kita biro politik PKR tidak pernah buat keputusan itu (minta exco PAS letak jawatan dalam kerajaan Selangor).
 
"Itu pandangan peribadi dan tidak diputuskan parti," katanya.
 
Ditanya lebih lanjut mengenai hala tuju hubungan kedua-dua parti, Shaharuddin berkata walaupun PAS bertekad memutuskan hubungan dengan PKR bentuk kerjasama boleh berlaku dengan pelbagai cara.
 
"Dalam politik  boleh berlaku pelbagai cara, kalau bukan dengan tahaluf, dia boleh berlaku dengan cara lain seperti persetujuan bersama dan sebagainya dan kita akan lihat perkembangan dari masa ke semasa," kata Shaharuddin.
 


Tiada ulasan: