Kita adalah parti yang berpijak di alam nyata. Kita ada 195 kawasan dari 222 kerusi Parlimen, jadi 40 kerusi itu tidak ekstrem dan munasabah

ALOR SETAR: Meneruskan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) sebagai siasah PAS mendepani politik negara, parti itu hari ini menegaskan akan memantapkan kerjasama dengan sekutu Gagasan Sejahtera, blok ketiga parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata gerakan Gagasan Sejahtera akan diperkemaskan dengan penyertaan kalangan rakyat awam, pimpinan masyarakat, bekas pegawai tinggi kerajaan dan badan bukan  kerajaan (NGO).

Merujuk suasana politik semasa yang sarat dengan bicarawara PRU14, berikutan mandat tempoh kerajaan sedia ada akan tamat Jun 2018, beliau berkata agenda pemantapan Gagasan Sejahtera yang lebih sistematik dan kemas akan dirangka dalam masa terdekat ini.

Mengulangi pendirian asas perjuangan parti yang berlandaskan syariat Islam, beliau mengingatkan masyarakat tentang bahayanya mereka memilih parti yang secara terang-terangan menentang syiar Islam kerana ia merupakan ancaman besar terhadap negara yang boleh memecahbelahkan rakyat berbilang kaum.

“Mereka (parti politik tersebut) saling cabar mencabar, siapa yang lebih dahulu dan paling kuat menentang syiar Islam, seolahnya menjadi kebanggaan baharu di zaman ini.

“Tindakan sebegini sekiranya berterusan, adalah ancaman terbesar kepada keharmonian dan kebebasan hidup beragama yang dinikmati di Malaysia yang menjadikan `Islam sebagai Agama Persekutuan’,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan dan wakil daripada  beberapa parti politik dan pemerhati luar negara.

Dalam ucapan dasar bertema “Sejahtera Bersama Islam”, Abdul Hadi  turut menyelar kalangan umat Islam yang begitu teruja diri dipermainkan oleh mereka yang mempunyai agenda jahat terhadap Islam.

Menegaskan BPMS berkesan dalam masyarakat yang bencikan budaya keras, kasar dan politiking melampau sehingga semua perkara dilihat dalam perspektif negatif dan penuh kebencian, beliau memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu agar tidak memaksa dan mengugut PAS dalam menyatakan pendirian, terutama yang melibatkan strategi politiknya.

Beliau menegaskan PAS hanya menentang sikap cauvinis dan perkauman sempit yang dimainkan parti tertentu.

Bercakap pada sidang media kemudian, Abdul Hadi berkata PAS menolak bekerjasama dengan DAP kerana konsep dan prinsip parti berasaskan kaum Cina itu yang rasis dan terang-terangan menolak Islam, sekali gus bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Majoriti penduduk Malaysia juga adalah orang Islam, sebab itu dalam sebuah negara pelbagai kaum mesti menghormati semua kaum. Apabila dia  (DAP) membawa fahaman “cauvinisme” yang teras tujuannya ialah untuk satu kaum tanpa menghormati kaum lain, ini sudah bercanggah dengan konsep perjuangan kita (PAS) , ” katanya.

Abdul Hadi memberi contoh tentang usul persendirian rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1963 atau RUU 355, yang ditentang DAP sejak awal lagi.

Mengenai konsep Gagasan Sejahtera, beliau berkata ia adalah gagasan baharu yang lebih bersifat setiakawan dan melibatkan parti-parti politik, NGO dan tokoh-tokoh pelbagai kaum dan masyarakat majmuk, dengan menonjolkan Islam sebagai penyelesai masalah menerusi pendekatan politik, ekonomi dan sosial.

“Ini yang perlu kita pertimbangkan melalui politik matang dan sejahtera. Ia sebagai satu alternatif kepada pakatan yang pernah kita (PAS) adakan apabila ada rakan-rakan politik yang tak menghormati pendirian Islam yang kita bawa,” katanya.

Pada 16 Mac tahun lepas, PAS mengumumkan membentuk blok ketiga politik dengan Ikatan, sebuah parti pelbagai kaum pimpinan Abdul Kadir.

Mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Abdul Hadi berkata PAS telah menetapkan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti, pimpinan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kita tak boleh layan parti yang tak sama dengan kita, kita dah buat penilaian, parti Pribumi tak ada ketentuan arah kerana pemimpin kita tak tahu, siapa imam, siapa makmum dan kita buat keputusan tak ada hubungan dengannya,” katanya.

Mengenai PRU14, Presiden PAS itu  berkata sasaran untuk menang 40 kerusi Parlimen dan menawan lima negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pahang —  pada PRU14 adalah tidak “ekstrem” jika dibandingkan dengan jumlah kerusi yang ditandingi PAS.

“Kita adalah parti yang berpijak di alam nyata. Kita ada 195 kawasan dari 222 kerusi Parlimen, jadi 40 kerusi itu tidak ekstrem dan munasabah, parti lain tak ada kawasan dan cawangan dan mereka sebelum ini bergantung dengan PAS,” katanya.

Muktamar itu akan berakhir pada Isnin ini yang menjadi tumpuan ramai untuk melihat percaturan parti itu menghadapi PRU dan tahaluf siyasi atau kerjasama politik mereka dengan PKR.