Ahad, 30 April 2017

PAS kini 'tenang' dengan hanya satu kumpulan selepas pemilihan 2015 - Nasrudin

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Kejayaan golongan ulama dalam pemilihan PAS 2015 memperlihatkan parti itu kini 'tenang' dalam menggerakkan kepimpinan baru dengan wajah baru tanpa istilah profesional mahupun ulama, kata bekas Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan.
 
Pemilihan parti kali ini juga berjalan lancar lebih-lebih lagi kesemua jawatan panas dalam PAS sudah diketahui selepas menang tanpa bertanding.
 
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mengekalkan jawatan presiden dan timbalan presiden.
 
Sementara Muhammad Khalil Abdul Hadi menang jawatan Ketua Pemuda juga tanpa bertanding selepas penyandangnya Nik Abduh Nik Aziz enggan mempertahankan kerusi tersebut. 
 
"Tak ada, setakat ini tenang setelah peristiwa muktamar pada 2015 sejak kami tenang," katan Nasruddin yang ditemui selepas proses pengundian barisan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) baru PAS Pusat sempena Muktamar Tahunan Ke-63 di Kompleks PAS Kedah.
 
"Dari segi gerak kerja memang akan membentuk pasukan mewakili semua dan pasukan kerja pula perkara kedua yang kita seimbangkan.
 
"Sekarang ini adalah untuk membina pasukan kepimpinan," katanya.
 
Untuk rekod pemilihan barisan kepimpinan dalam Muktamar Tahunan PAS 2015 menyaksikan perwakilan membawa suara yang jelas mahu golongan ulama memimpin parti itu.
 
Ia memperlihatkan golongan profesional yang diketuai bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kalah teruk. 
 
Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal menang jawatan presiden parti bagi penggal 2015-2017, sekali gus melakar rekod peneraju paling lama berbanding tiga lagi bekas presiden sebelum ini.
 
Manakala Mohamad yang menyandang jawatan timbalan presiden selama tiga penggal turut ditolak perwakilan dengan pencabar jawatan itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi pilihan perwakilan.
 
Tiga jawatan Naib Presiden turut dimenangi golongan pro ulama.‎ Mereka ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.
 
Tiada lagi dua kumpulan dalam PAS
 
Mengulas lanjut Nasrudin berkata kemenangan pada 2015 meletakkan parti Islam berada di prestasi terbaik.
 
"Pada kali ini boleh dikatakan isu ini dah tak berbangkit, ia tak timbul dah soal profesional atau ustaz," katanya.
 
Justeru beliau menganggap pemilihan kali ini tidak kurang sengitnya kerana kriteria yang dilihat perwakilan bukan kepada siapa calon tetapi prestasi calon yang bertanding.
 
"Sekarang ini soal prestasi, siapa lebih menonjol prestasinya maknanya siapa yang lebih bekerja keras," katanya.
"Jadi isu ulama dan profesional tak berbangkit.
 
"Boleh sahaja dan ia pernah berlaku dalam PAS sebelum ini seperti naib presiden itu semua profesional dan kadang-kadang semua ulama," katanya.
 
 

Tiada ulasan: