Jumaat, 28 April 2017

Kuala Selangor, Sabak Bernam dinaiki air

SELANGOR KINI

WhatsApp Image 2017-04-28 at 12.58.43 PM


SHAH ALAM: Seramai 64 mangsa dari 20 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pasangan, Kuala Selangor, sejak semalam selepas kediaman mereka dinaiki air.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, mangsa yang dipindahkan adalah penduduk di Kampung Tanjung Buah dan Kampung Tanjung Siam selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran fenomena air pasang besar.

“Mangsa yang dipindahkan terdiri dari 11 lelaki dan 16 perempuan dewasa, 15 kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan serta seorang bayi perempuan.

“Selain itu, tiga lelaki dan lapan perempuan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta empat warga emas lelaki juga lapan warga emas perempuan turut dipindahkan ke pusat pemindahan itu,” katanya lapor BH Online.

Katanya, pihaknya kini membuat pemantauan fenomena air pasang besar di sekitar Kampung Tanjung Siam, Kampung Teluk Penyamun dan Kampung Asahan.

WhatsApp Image 2017-04-28 at 12.58.44 PM

Sementara itu, kejadian limpahan air di Sungai Bernam, Sabak Bernam mencatatkan ketinggian antara 100 milimeter (mm) sehingga 300mm, semalam.

Kejadian terbabit dikatakan berpunca daripada air pasang yang melimpah melepasi jalan premix memasuki parit Borrow Pit 5, lapor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam.

“Untuk jangka pendek, kita akan membuka pintu air Sungai Besar Utara ketika tempoh surut, manakala cadangan penyelesaian jangka panjang pula meninggikan aras jalan benteng premix sedia ada oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB),” katanya.

Tiada ulasan: