Rabu, 26 April 2017

Hutang 1MDB: Dr M pertikai wang yang diguna bayar syarikat palsu

 Shawaliah Hadir

Pengerusi PPBM itu dalam masa sama menyifatkan kerajaan mengalami kerugian kerana membayar hutang dua kali

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertikai wang yang telah digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI) yang didapati sebelum ini adalah syarikat palsu.

Menurutnya, perkara pokok yang sepatutnya diberikan perhatian adalah wang berbilion-bilion dolar yang telah ‘hilang’ berbanding keputusan untuk membayar RM5.28 bilion kepda firma pelaburan Abu Dhabi Interntionl Petroleum Investment Co (IPIC).

“Kalau dia bayar hutang kepada syarikat yang ada sekarang ini, jadi kita nak tahu duit yang dibayar kepada syarikat palsu ini pergi mana? Siapa dapat? Ini masalahnya.

“Masalahnya bukan hanya bayar hutang kepada IPIC tetapi ke mana duit itu (bayaran hutang sebelum ini) telah pergi?” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM) hari ini.

IPIC dan Aabar Investment sebelum ini membuat pengesahan bahawa Aabar BVI bukan entiti korporat kedua-dua syarikat berkenaan, dan ia menimbulkan kecurigaan di kalangan parti pembangkang.

Kemudian baru-baru ini 1MDB dilaporkan mencapai persetujuan untuk membayar US$1.2 billion (RM5.25 billion) kepada IPIC selepas pertikaian antara dua syarikat itu di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

Dalam persetujuan itu, 1MDB juga akan bertanggungjawab terhadap semua pembayaran faedah pada masa akan datang dan pembayaran prinsipal bagi dua bon terbitan syarikat-syarikat Kumpulan 1MDB Group yang bernilai AS$3.5 bilion, yang berakhir pada 2022.

Pengerusi PPBM itu menyifatkan tindakan tersebut hanya merugikan sahaja kerana mengeluarkan wang yang banyak untuk membuat pembayaran kali kedua.

“Tidak tahulah siapa yang buat syarikat palsu ini tetapi sekarang kita nak bagi lagi duit kepada syarikat yang tidak palsu jadi dua kalilah kita bayar hutang. Kita rugi dua kalilah,” tambah Dr M.

Tiada ulasan: