Jumaat, 28 April 2017

Hadi, Tuan Ibrahim kekal jawatan bukti PAS stabil

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic


SHAH ALAM: Keyakinan penyokong PAS terhadap Presiden, Datuk Seri Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menerajui parti itu sekali lagi menggambarkan kestabilan PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Menurut penganalisis politik, Prof. Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, selepas kedua-duanya menang tanpa bertanding, PAS dilihat semakin yakin bergerak sendiri di bawah pimpinan Hadi dan Tuan Ibrahim walaupun ramai ahli PAS keluar parti lalu menubuhkan parti baru, Amanah.

“Jadi saya rasa PAS sekarang merasa lebih yakin mengenai masa depan dan selama ini selepas krisis dengan ahli-ahli yang jadi Amanah ni, Datuk Seri Hadi telah berjaya menstabilkan PAS dan kedudukan PAS.

“Jadi saya rasa kepercayaan kepada Datuk Seri Hadi dan timbalan adalah langkah yang paling penting untuk orang PAS menunjukkan bahawa mereka telah balik stabil.”

Malah katanya, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016) atau Akta 355 yang dibentangkan oleh Hadi baru-baru ini turut menambahkan lagi sokongan ahli PAS terhadapnya.

“Jadi ada beberapa alasanlah kenapa stabil tu, pertamanya menghadapi pilihan raya, keduanya RUU355, walaupun belum lagi berjaya diluluskan, tapi dah dimulakan perbincangan.

“Mereka dah bersedia untuk berdepan dengan PRU14 dan memberi mandat supaya berunding dengan siapa sahaja yang boleh berunding dengan PAS, ni semua adalah tersirat dengan persetujuan ni,” tambahnya.

Sebelum ini, Hadi dan Tuan Ibrahim diumumkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAS selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi tahun ini.

Hadi, 69, memegang jawatan Presiden PAS sejak 2002 menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim, 56, memegang jawatan nombor dua parti sejak 2015

Tiada ulasan: