Ahad, 30 April 2017

Dr M ‘okay’ PAS tidak mahu bekerjasama

 
Presiden PAS semalam berkata partinya tidak mahu bekerjasama dengan PPBM yang tiada "imam" dan tiada ketentuan arah.


tun-m-bendera-pas-berkibar

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad terima keputusan PAS yang tidak mahu mengadakan kerjasama pilihan raya.

“Kalau mereka tutup pintu, kita tak boleh masuk. Mereka dialu-alukan. Mereka tidak mahu bercakap dengan kita, ‘okay’ lah,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas acara Pakatan Harapan bersama penduduk Bandar Tun Razak malam tadi.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar semalam berkata partinya tidak mahu bekerjasama dengan parti seperti PPBM yang tiada “imam” dan tiada ketentuan arah.

Tahun lepas, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin partinya boleh menjadi jambatan antara PAS dan PH.

Dr Mahathir juga sebelum ini memberikan tempoh kepada PAS untuk memberikan jawapan. Hadi kemudian menjawab partinya tidak mahu bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

Mesyuarat agung tahunan PAS yang sedang berlangsung ketika ini menyaksikan Dewan Ulama dan Dewan Pemuda meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR.

PAS dan DAP memutuskan hubungan antara lain mengenai pelaksanaan undang-undang Islam. Kekalahan beberapa pemimpin PAS dalam pemilihan 2015 membawa kepada penubuhan Amanah, yang membentuk Pakatan Harapan bersama PKR, DAP dan PPBM.

PAS enggan mengadakan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan, dan berkata ia akan menyertai pilihan raya akan datang sebagai “blok ketiga”. PAS juga dilaporkan mahu meletakkan calon di kerusi yang diduduki parti pembangkang lain, memaksakan pertandingan 3 penjuru yang dipercayai akan memihak kepada Barisan Nasional.

Ambil duit tapi undi Pakatan

Dr Mahathir dalam ceramahnya di acara malam tadi menggesa penduduk Bandar Tun Razak supaya mengundi Pakatan Harapan. Beliau mendakwa BN mungkin akan memberikan “wang untuk memenangi hati pengundi”.

“Ambil duit tapi undi Pakatan Harapan,” katanya, kepada penyokong pembangkang dan pengunjung pasar malam yang mengikuti ceramah itu.

Penceramah malam tadi menyentuh pelbagai isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kenaikan harga makanan, dan kesan pemotongan subsidi ke atas gula dan beras.

Isu yang paling menyentuh warga Bandar Tun Razak semalam adalah mengenai padang bola sepak di Jalan Jujur. Hadirin turut bersuara membantah sebarang pembinaan di atas padang itu.

Tiada ulasan: