Sabtu, 29 April 2017

Dataran Durian tarikan terbaharu di Kuala Terengganu

Bernama

Sebanyak 20 gerai durian dan buah-buahan berdekatan Pasar Besar Kedai Payang akan dinaik taraf menjadi Dataran Durian Terengganu dengan penyediaan pelbagai kemudahan baharu.

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 20 gerai durian dan buah-buahan berdekatan Pasar Besar Kedai Payang akan dinaik taraf menjadi Dataran Durian Terengganu dengan penyediaan pelbagai kemudahan baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu, Mohd Jidin Shafee berkata pihaknya memberi tempoh sehingga 31 Mei depan untuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melaksanakan perkara itu.

“Pertama, kita akan tukar semua kanopi gerai durian ini kepada warna putih yang lebih besar dan cantik bagi menggantikan khemah biasa yang digunakan serta penggunaan kerusi meja yang seragam.

“Kemudian, kita akan strukturkan semula kedudukan peniaga ini agar lebih tersusun, begitu juga dengan tempat meletak kenderaan supaya Dataran Durian Kuala Terengganu ini sesuai menjadi pusat tumpuan peminat buah-buahan,” katanya kepada pemberita selepas melawat deretan gerai durian itu di sini, malam semalam.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat juga akan bekerjasama dengan MBKT untuk melakukan operasi pembersihan besar-besaran secara berkala pada setiap tiga bulan bagi memastikan dataran baharu itu sentiasa bersih dan selesa untuk orang ramai.

Mohd Jidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri berkata kerajaan negeri juga bersetuju dengan cadangan peniaga durian untuk menyediakan skrin besar sebagai tarikan pengunjung di dataran itu bagi merancakkan lagi aktiviti perniagaan di kawasan itu.

“Dataran Durian Kuala Terengganu ini diharap dapat menghidupkan lagi suasana malam di bandaraya ini yang selama ini suram dan akan menjadi tarikan terbaharu di negeri ini kerana peniaga buah-buahan juga bersedia memastikan bekalan durian sentiasa ada sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Sukri Abdullah berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang peka dengan keperluan peniaga di kawasan itu.

“Ia adalah sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi peniaga tempatan dan projek menaik taraf semula Pasar Besar Kedai Payang pula akan menjadi satu lagi mercu tanda kekuatan ekonomi rakyat negeri ini.

Ketika ini, hampir 1,000 peniaga dan penjaja kecil menjalankan perniagaan di pasar itu termasuk songket, sutera, batik, tembaga, produk kraftangan, barangan basah dan buah-buahan. –-Bernama

Tiada ulasan: