Ahad, 30 April 2017

Apa hak PKR nak suruh PAS tinggalkan Kerajaan Selangor?

 Berita Daily Staff

Muhammad Khalil berkata, PAS Selangor juga tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya PAS Pusat mengarahkan mereka keluar dari pentadbiran kerajaan negeri Selangor

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata PKR tidak berhak untuk menggesa anggota parti Islam itu melepaskan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor kerana mandat PAS berada dalam kerajaan adalah hasil pilihan raya umum ke-13 lalu.

Dalam sidang media sulungnya sebagai ketua pemuda PAS, Muhammad Khalil berkata, PAS Selangor juga tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya PAS Pusat mengarahkan mereka keluar dari pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

“Mandat PAS dalam kerajaan Selangor yang ada pada hari ini adalah hasil PRU 13..ini mandat rakyat..apa hak PKR nak suruh keluar dari kerajaan.

“Namun andai keputusan PAS Pusat minta supaya PAS Selangor perlu keluar dari kerajaan, secara jelas tidak ada masalah langsung untuk kita keluar dari Kerajaan bahkan kita bukan gila kuasa sehingga sanggup melanggari arahan pimpinan PAS Pusat,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di selepas Muktamar Pemuda PAS di Alor Setar, Kedah hari ini.

Kenyataan itu turut dimuat naik di laman Facebook rasmi Pemuda PAS Malaysia.

Antara pemimpin PAS yang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Iskandar memegang portfolio perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar, Zaidy pula memegang portfolio infrastruktur dan kemudahan awam, permodenan pertanian dan industri asas tani, manakala Ahmad Yunus memegang portfolio hal ehwal agama Islam, jawatankuasa adat Melayu, pembangunan desa dan kampung tradisi.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini menggesa agar PAS segera memuktamadkan hubungan tahaluf siyasi mereka dengan PKR dan sekiranya parti itu bertindak memutuskan hubungan mereka, anggota PAS perlu melepaskan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang dipimpin PKR.

Tiada ulasan: