Khamis, 23 Mac 2017

Upacara perbomohan Raja Bomoh syirik, khurafat dan haram

Manzaidi Mohd Amin
Othman Mustapha

KUALA LUMPUR – Beberapa negeri telah memutuskan upacara dan amalan perbomohan dilakukan Datuk Ibrahim Mat Zin yang menggunakan objek tertentu adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, keputusan itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum ini.

“Untuk makluman, beberapa buah negeri telah pun memutuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bahawa upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan oleh bomoh Ibrahim Mat Zin yang menggunakan objek-objek tertentu adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ahad lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan polis dilaporkan sedang mengesan Ibrahim yang dikenali sebagai Raja Bomoh berukutan upacara perbomohan ‘memagar’ Malaysia yang dilakukannya minggu lalu.

Jawi dan Polis hendak menangkap serta mendakwanya kerana telah merosakkan imej Islam.

Menurut Othman, pihaknya telah mengambil inisiatif tertentu berhubung rakaman video ritual yang tersebar itu dengan memanggil individu berkenaan bagi mendapatkan penjelasannya.

“Kita telah memanggil individu yang menyebarkan rakaman itu hari ini, tetapi mereka tidak hadir,” katanya.

Kata beliau, kajian daripada Panel Pakar Akidah Jakim juga mendapati aktiviti perbomohan Ibrahim bercanggah dengan akidah Islam kerana mengandungi unsur syirik dan khurafat.

Oleh itu, ujarnya, Jakim menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan apa juga ritual yang dijalankan oleh individu berkenaan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: