Jumaat, 24 Mac 2017

RM15 juta lebur untuk program ‘selfie’ Najib dengan selebriti dunia?


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) nampaknya lebih rela membelanjakan belasan juta ringgit bagi program kendalian syarikat swasta daripada menyalurkan dana sebesar itu kepada sektor yang lebih memerlukan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming berkata, adalah tidak wajar kerajaan UMNO-BN mendanai program Forum Transformasi Global 2017 dengan kos RM15 juta sedangkan belanjawan sektor penting negara seperti pendidikan dan kesihatan dipotong saban tahun.

“Mengapa kerajaan memberikan dana untuk program yang hanya boleh dihadiri oleh orang-orang yang berpengaruh di Malaysia sedang belanjawan universiti dan hospital kita dipotong, malah rakyat dinafikan hak kepada subsidi gula dan minyak.

“Adakah ia untuk memberi peluang kepada perdana menteri mengambil swafoto dengan selebriti? Ini satu tamparan yang hebat kepada rakyat negara ini yang bermati-matian terpaksa menanggung kos sara hidup dan pemotongan belanjawan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kian Ming yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor lagi, pihak penganjur sepatutnya berasa malu kerana sanggup memohon dana RM15 juta daripada kerajaan untuk mengadakan program yang “dianjurkan untuk orang kaya dan oleh orang kaya”.

Forum Transformasi Global 2017 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula semalam dan berakhir hari ini menampilkan selebriti dunia antaranya, Sir Richard Branson, Jack Ma dan Usain Bolt.

Ia turut mendapat tajaan daripada syarikat korporat termasuk Tenaga, Hong Leong Bank, YTL, MMC Gamuda, KL Kepong dan banyak lagi.

Program yang sama pernah didanai kerajaan pada 2015 dengan kos RM10 juta. – Roketkini.com



Tiada ulasan: