ANTARAPOS.COM
BUKIT MERTAJAM: Remaja perempuan yang memandu secara melawan arus di
Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini semalam direman empat hari mulai hari
ini bagi membantu siasatan ke atas tindakannya itu yang turut meragut
nyawa seorang juruteknik.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Dianne Ningrad Nor
Azahar di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membolehkan siasatan
lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan
Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Remaja berusia 19 tahun yang bekerja sebagai model sambilan itu ditahan
polis di tempat kejadian berhampiran susur masuk ke Permatang Pauh
semalam.
Dalam kejadian pukul 7.50 pagi di Km134, Lebuhraya Utara-Selatan itu,
remaja yang memandu kereta jenis Proton Gen-2 secara melawan arus dari
Sungai Dua menghala Butterworth telah melanggar bahagian hadapan kereta
Perodua Kelisa yang dipandu Mohamad Fandi Rosli, 26.
Mohamad Fandi, juruteknik sebuah kilang di Perai yang ketika itu dalam
perjalanan pulang selepas habis bekerja mati di tempat kejadian akibat
cedera parah di kepala dan badan.
Beliau yang baru tiga bulan berkahwin meninggalkan isteri yang sedang mengandung.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros
Azhan Nik Abdul Hamid pada sidang akhbar di sini hari ini berkata
siasatan awal mendapati remaja itu memandu di bawah pengaruh alkohol dan
positif dadah jenis ketamin.
“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan
Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun hingga 10
tahun, lesennya digantung serta dia didenda dan Seksyen 15 (1) Akta
Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata remaja itu memandu secara melawan arus sejauh lima
kilometer sebelum melanggar kereta dipandu Mohamad Fandi dalam
kemalangan yang melibatkan enam kenderaan dengan lima individu cedera.
Berdasarkan kenyataan saksi, remaja terbabit dilapor membuat pusingan U
di laluan yang sama kira-kira 100 meter daripada Plaza Tol Sungai Dua
dan bergesel dengan tiga kenderaan lain.
“Ketika kejadian, remaja itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di
Sungai Dua selepas keluar berhibur di pusat hiburan di Bukit Mertajam
bersama rakan-rakannya sejak tengah malam,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata setakat ini polis telah merekod lapan keterangan
iaitu daripada empat mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu dan empat
saksi yang melihat kejadian itu.
Tujuh laporan polis diterima berhubung dua kemalangan membabitkan
remaja itu dan polis akan memanggil beberapa individu lagi untuk direkod
keterangan, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan