Ahad, 19 Mac 2017

PRU-14 sebagai referendum tolak BN di Johor


 
Oleh Mahdzir Ibrahim

Rakyat Johor boleh berperanan memberi jalan keluar kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di Johor dengan menjadikan pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) sebagai sebuah referendum, bukan sekadar PRU yang biasa.

Referendum adalah satu konsep yang pada dasarnya menjadi kaedah apabila berlaku suatu keadaan luar biasa yang memerlukan satu pungutan suara yang segera dari rakyat bagi menentukan hala tuju sesebuah kerajaan.

Biasanya ia berkaitan dengan sesuatu kes yang melibatkan urusan perlembagaan atau dasar utama (major policy). Satu pungutan suara perlu dijalankan untuk mendapatkan sokongan ‘Ya’ atau ‘Tidak’, ‘Hitam’ atau ‘Putih’, ‘Sokong’ atau ‘Tolak’ daripada rakyat sepertimana yang terbaru, kes Brexit di UK.

Apa yang saya maksudkan dengan PRU-14 boleh menjadi sebuah referendum ialah dengan merujuk pada konsepnya iaitu apabila wujud satu keadaan luar biasa, yang memerlukan satu keputusan segera untuk memulihkan atau mengubah sesuatu keadaan.

Keluarbiasaan Korupsi

Di Johor hari ini, telah berlaku suatu keadaan yang luar biasa atau luar jangka yang meletakkan pentadbiran kerajaan BN Johor dalam krisis integriti yang cukup hebat.

Telah wujud keraguan dan hakisan kepercayaan rakyat yang meluas terhadap kerajaan negeri yang ditunjangi parti UMNO.

Krisis integriti ini muncul apabila kerajaan BN Johor telah gagal melaksanakan sistem pengurusan yang amanah, telus dan cekap.

Hal ini merujuk kepada skandal hartanah terbesar di Johor yang sedang dalam siasatan. Ya, kita tidak boleh menghukum kerajaan BN Johor sebelum mahkamah membuat keputusan, ini kita sedar.

Bagaimanapun, dengan terbongkarnya skandal ini, ia sudah memadai untuk menunjukkan bahawa adanya kelemahan politik sehingga berlaku ketirisan pentadbiran yang luar biasa.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri telah menyita pelbagai bentuk harta kekayaan yang luar biasa banyaknya.

Menurut Menteri Besar Johor, sebanyak 3,000 unit rumah bumiputera telah ditukar milik sejak akhir tahun 2013 dengan hasil yang berjumlah RM600 juta. Ini adalah jumlah yang sangat luar biasa bagi sebuah negeri seperti Johor.

Keluarbiasaan Forest City

Satu lagi keadaan yang luar biasa melibatkan juga hal hartanah iaitu Forest City. Ini menjadi perhatian dan keluhan yang meluas dalam kalangan rakyat.

Isunya cukup asas, rakyat khususnya golongan B40 tidak dapat melihat apatah lagi merasai hasil daripada projek mega ini.

Yang digembar-gemburkan ialah keuntungan atau pulangan kepada negeri apabila gedung-gedung mewah ini dibeli atau disewa oleh orang kaya dari luar negeri.

Pulangan kepada negeri? Memandangkan integriti kerajaan BN Johor hari ini semakin diragui, maka pudarlah harapan rakyat untuk melihat pulangannya kepada mereka kelak.

Dalam projek Forest City ini, usahawan dan rakyat tempatan bukan pemain utama dalam projek mega ini. Nak kata mereka terlibat dalam industri hiliran Forest City, sukar juga kerana peluang rakyat biasa nak menjadi ‘Pak Guard’ pun belum tentu dapat.

Inilah yang berlaku dalam referendum Brexit. 52 peratus rakyat UK memilih untuk Brexit (keluar dari Kesatuan Eropah), secara umumnya rakyat UK memilih keluar berasaskan 2 sebab utama iaitu ekonomi dan kedaulatan.

Ini jugalah yang sedang berlaku dalam kalangan rakyat Johor ketika ini. Mereka khususnya golongan B40 merasa tidak senang dan bimbang dengan prospek ekonomi dan kehidupan mereka.

Apatah lagi, kerajaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga adalah penyokong tegar kerajaan kleptokrasi Datuk Seri Najib Razak yang menyebabkan rakyat Johor semakin terdesak hidupnya dek kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Kesan GST menjadi garam untuk memasinkan lagi hidup rakyat Johor.

Elemen-elemen yang memerlukan adanya referendum, telah ada di Johor, telah tercetus di hati rakyat Johor. Tetapi, bolehkah ia diterjemahkan pada PRU-14 kelak?

Bagaimana Caranya?

Ketika ini, pakatan pembangkang yang kukuh di Johor (tidak termasuk PAS), memiliki 16 buah kerusi DUN; DAP (13), Parti Amanah Negara (Amanah) (1), PKR (1) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (1).

Jika rakyat memberi referendum tolak BN dan UMNO sebanyak 5 peratus undi, 7 kerusi DUN milik BN akan hilang. Jika rakyat menambah lagi 10 peratus referendum tolak BN dan UMNO, ada 7 buah kerusi BN Johor yang lain akan turut hilang.

Jumlah 5 dan 10 peratus undi tambahan ini adalah suatu kerja yang tidak mustahil untuk dicapai.
Semangat referendum ini boleh meyakinkan rakyat khususnya dari 14 buah kerusi tambahan tersebut. Bahang ketidakselesaan yang muncul dari keadaan luarbiasa ini memungkinkan rakyat memberi referendum menolak BN Johor pada PRU-14 kelak.

Apapun keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam melukis kembali sempadan kawasan pilihan raya, ia belum tentu dapat menggagalkan referendum menolak BN selagi rakyat tetap mahu memilih untuk menolak kerajaan yang dipimpin oleh “Malaysian Official 1” atau “MO1”

Tiada ulasan: