Khamis, 16 Mac 2017

Peminjam boleh naik pesawat selepas bayar pinjaman PTPTN di klia2

 
Pengerusi PTPTN berkata, kaunter berkenaan beroperasi 24 jam dan pegawai bertugas turut menyediakan khidmat rundingan kepada peminjam terbabit.


Shamsul-Anuar_ptptn_klia2_600


KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi memudahkan peminjam disenarai hitam, yang mahu ke luar negara, membayar pinjaman mereka.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kaunter berkenaan beroperasi 24 jam dan pegawai bertugas turut menyediakan khidmat rundingan kepada peminjam terbabit.

“Isu peminjam disenarai hitam tidak dibenarkan ke luar negara antara isu yang kita mahu selesaikan.

“Jadi, dengan pembukaan kaunter ini, peminjam terlibat boleh berunding dan menyelesaikan tunggakan mereka serta-merta, kemudian boleh meneruskan perjalanan,” katanya kepada Bernama di Parlimen hari ini.

Shamsul berkata, pembukaan kaunter tersebut antara usaha PTPTN mengutip lebih banyak pinjaman tertunggak.

Selain disenarai dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS), peminjam yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman turut disenarai hitam Jabatan Imigresen.

Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul berkata, PTPTN menyasarkan kutipan pinjaman sebanyak RM4 bilion tahun ini.

Menurutnya, perbadanan itu juga sedang melaksanakan pelbagai langkah membolehkan institusi berkenaan memberikan pinjaman kepada pelajar baharu pada kadar seperti sebelum ini.

“Oleh kerana ada isu pelajar baharu yang pinjamannya dikurangkan, kita mahu sasarkan supaya kita boleh memberi jumlah pinjaman seperti kadar asal kepada mahasiswa baharu,” katanya.

Tiada ulasan: