Khamis, 23 Mac 2017

Pemilihan Presiden FAM: Annuar Musa tarik diri

 Shawaliah Hadir

Keputusan itu dibuat mengelakkan wujudnya puak-puak yang tidak berpuas hati sehingga mengakibatkan keharmonian FAM terjejas

UPDATED KUALA LUMPUR: Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Annuar Musa hari ini mengumumkan pengunduran diri sebagai calon yang akan bertanding untuk merebut jawatan Presiden dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 25 Mac ini.

Katanya, keputusan yang diambilnya hari ini bagi mengelakkan wujudnya puak-puak yang menyokongnya dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana situasi itu hanya akan menjejaskan persatuan itu daripada terus memperbaiki prestasi.

“Tiada gunanya kalau ‘rumah sudah siap tapi pahat masih berbunyi’ atau pihak yang menang akhirnya dipertikaikan dan yang kalah diperlekehkan.

“Justeru setelah berfikir dan menimbang semua perkara saya membuat ketetapan memberi penghormatan kepada calon satu lagi untuk diberikan kemenangan tanpa bertanding,” katanya kepada wartawan ketika sidang media di Parlimen.

Beliau berpendirian, TMJ perlu diberi peluang untuk menunaikan janjinya khususnya melakukan perubahan kepada FAM.

“Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan TMJ boleh menjadi aset yang penting kepada FAM. Sokongan dan perkenan TMJ juga adalah suatu penghormatan kepada bola sepak Malaysia.

“Justeru TMJ perlu diberi peluang yang seluas-luasnya untuk melakukan sesuatu untuk bola sepak Malaysia dan mengotakan segala janji baginda,” tambah Ahli Parlimen Ketereh itu.

Beliau dalam pada itu menafikan tindakannya didorong dengan kemelut yang dihadapinya khusus berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam Majlis Amanah Rakyat ( Mara) .

“Tiada desakan malah tiada siapa yang tahu saya buat keputusan ini, hanya saya sendiri. Isteri saya sendiri tidak tahu,” katanya lagi.

Beliau walaubagaimanapun memaklumkan akan memaklumkan FAM dengan segera sejurus selepas memberitahu media.

“Saya harap supaya ada masa 48 jam untuk urus setia melakukan sesuatu dan mengurus dalam tindakan saya mengundurkan diri,” jelasnya.

Beliau pada akhirnya menyuarakan harapan kepada TMJ yang bakal menerajui FAM dapat melaksanakan tugas dan janji baginda sebelum ini.

“Saya berdoa perubahan yang sekian lama dinanti dan dijanjikan akhirnya menjadi realiti,” kata Annuar.

Sebelum ini, FAM mengesahkan menerima borang pengesahan pencalonan jawatan Presiden FAM bagi penggal 2017 hingga 2021 daripada TMJ dalam masa sama membuktikan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal menentang Annuar.

Dua lagi calon lain bagi jawatan itu iaitu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Aseh Che Mat terdahulu telah menarik diri daripada merebut kerusi itu.

Tiada ulasan: