Selasa, 21 Mac 2017

PAS bersendirian tanding semua kerusi di Terengganu



HARAKAHDAILY

PAS akan menjadi pembangkang yang unggul dan dilihat sebagai sebagai parti yang layak bertanding semua kerusi di Terengganu pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Tokoh wartawan dan veteran PAS, Haji Subky Abdul Latif berkata, PAS tiada pilihan yang banyak buat masa ini tetapi yakin PAS akan menjadi pembangkang yang kuat, lapor Buletin Online semalam.

“PAS akan menjadi pembangkang yang tunggal yang kuat kerana PAS dengan bersendirian dia dapat mengemukakan pendapatnya.

“Mungkin pada masa ini PAS tidak mendapat kejayaan yang besar, tetapi pada jangka panjangnya PAS akan menjadi kuat,” ujarnya pada sesi temubual dengan Harap TV di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berpendapat, adalah ‘membuang masa’ berbincang dengan parti-parti lain kerana mereka tidak bersedia menerima syarat yang dikemukakan PAS.

“Sepatutnya PAS bertanding semua. Dulupun, dua tiga PRU yang lepas sepatutnya, PAS bertanding semua tapi kerana wujudnya Pakatan jadi kita bahagi-bahagikan kerusi.

“Parti-parti yang ada itu memaksa PAS untuk bersedirian, maka pilihan kita tiada. Sepatutnya apabila mereka telah berpecah dengan Umno, mereka mengikut PAS kerana PAS telah ada dasar ‘PAS Ganti Umno’,” jelasnya.




Tiada ulasan: