Jumaat, 17 Mac 2017

Model sambilan mengaku tidak bersalah ambil dadah

 Berita Daily Staff

Ng Pei Ven pada 14 Mac memandu lawan arus mengakibatkan kematian seorang lelaki yang baharu berkahwin tiga bulan

KUALA LUMPUR: Model sambilan yang memandu melawan arus sehingga mengakibatkan kematian baru-baru ini mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan mengambil dadah jenis Amphetamine.

Tertuduh Ng Pei Ven di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi tadi membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap selepas didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan, Ng yang berusia 19 tahun boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Mahkamah Asisten Superitendan Md Azman Kadir menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memohon perintah lapor diri di Jabatan Narkotik seminggu sekali.

Selain itu, Md Azman turut memohon kepada mahkamah agar lesen memandu tertuduh digantung sementara sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan.

“Ia berikutan kes ini sudah menjadi perhatian umum dan mendapat liputan meluas, sekali gus menyebabkan orang ramai ingin tahu perkembangan status tuduhan.

“Malah, kejadian itu berlaku kerana tertuduh memandu di lorong bertentangan hingga menyebabkan kematian seorang lelaki, serta lima kenderaan lain turut terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Majistret kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan dua orang penjamin dan membenarkan permohonan supaya tertuduh melapor diri seminggu sekali di balai polis berdekatan.

Permohonan menggantung lesen memandu tertuduh susulan pendakwaan hari ini dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 walaubagaimanapun diketepikan, selain menetapkan 12 Mei depan sebagai sebutan semula.

Untuk rekod, 14 Mac yang lalu, seorang lelaki maut manakala lima yang lain cedera dalam satu kejadian kemalangan membabitkan empat buah kereta, sebuah van kilang dan sebuah motosikal di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Sungai Dua akibat daripada Ng yang memandu kereta Proton Gen2 memandu lawan arus.

Tiada ulasan: