Ahad, 19 Mac 2017

Jambatan di Parit Markom, Pontian runtuh akibat hujan lebat

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
JOHOR BAHRU: Hujan lebat yang berlaku petang semalam menyebabkan sebuah jambatan di Parit Markom yang merentasi Sungai Pinggan, dekat Pontian, runtuh pagi tadi.
 
Pegawai Daerah Pontian On Jabbar berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
 
“Berdasarkan pemeriksaan awal, hujan lebat dan tekanan sampah-sarap di sungai itu dipercayai antara faktor berlakunya runtuhan pada jambatan konkrit sepanjang 100 meter yang dibina sejak tahun 1970-an itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 
On berkata runtuhan itu tidak menjejaskan penduduk yang tinggal di kira-kira 70 rumah di Kampung Parit Markom memandangkan jambatan berkenaan merupakan laluan alternatif dan jalan pintas ke bandar Pontian.
 
Beliau berkata pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah melakukan pemantauan dan jambatan terbabit kini ditutup sebagai langkah keselamatan orang ramai.
 
“Berikutan kejadian ini, pihak kami sudah memohon peruntukan Kecemasan Bencana kepada kerajaan persekutuan menerusi Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan yang dijangka melawat kawasan kejadian pada 6.30 petang ini,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: