Jumaat, 17 Mac 2017

Dukacita perangai lama Umno dibawa masuk dalam parti, kata KP Bersatu

| DALIA ISMAIL

Datuk Kamarudin Md Nor Datuk Kamarudin Md Nor Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Kamarudin Md Nor meluahkan rasa dukacita dengan keputusan 13 ahli parti itu di Bahagian Baling yang bertindak mengumumkan keluar parti semalam.

"Ini baru peringkat penaja dan kita rasa dukacita jika perangai lama dalam Umno di bawa masuk dalam parti...patutnya sebagai ahli dalam  parti baharu kita ada semangat, akhlak dan nilai baharu.

"Soal tiada jawatan perlu ditolak ke tepi masalah parti lama begitulah dulu berjuang untuk merebut jawatan.

"Parti ini ditubuhkan bertujuan untuk lawan Umno tapi jangan pula kita jadi macam Umno.

"Jadi saya nasihatkan kepada semua ahli kembali kepada asas dan tujuan kita dalam pembentukan parti baharu ini," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas laporan 13 ahli parti itu di Bahagian Baling mengumumkan secara rasmi keluar parti ekoran tidak berpuashati dengan watikah pelantikan ketua penaja bahagian itu yang diumuman secara rasmi pada Februari lalu.

Bekas Pengerusi Bahagian Baling Ali Ahmad dipetik berkata, mereka terkilan apabila jawatankuasa penggerak parti itu yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu dinafikan hak mereka.

"Kami merasa amat berkecil hati apabila watikah yang sepatutnya menjadi milik kami diserahkan kepada seorang yang tidak pernah terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam gerak kerja parti sejak awal penubuhannya di sini," katanya dalam sidang media pengumuman keluar parti yang diadakan di Dewan Baling Inn semalam.

Kamarudin yang juga Ketua Penaja Bahagian Pasir Puteh berkata, parti di peringkat pusat mempunyai kriteria tertentu untuk memilih wakil penaja bahagian di setiap negeri.

"Ada beberapa kriteria yang ditentukan untuk memilih dan ia tidak kekal dan muktamad bagi semua orang dan ada pertimbangan lain yang kita ambil maklum.

"Kriteria ini sebagai panduan pimpinan pusat untuk buat keputusan.

"Apapun kita sukar dan tidak perlu untuk memuaskan hati semua orang kerana ia hanya jawatan 'penaja' sahaja," terangnya.

Seramai 13 ahli parti Bersatu mengisytiharkan keluar parti  semalam.Seramai 13 ahli parti Bersatu mengisytiharkan keluar parti semalam.Pada 14 Februari lalu satu majlis penyerahan watikah perlantikan 120 Ketua Penaja Bahagian parti itu telah diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya yang disampaikan oleh Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penaja Bahagian Baling yang dilantik ialah Datuk Sopian Ahmad.

Difahamkan  Baling mempunyai 221 ahli berdaftar.

Bagaimanapun Ali turut mendakwa kira-kira 500 ahli kawasan tersebut akan mengikut jejak mereka tidak lama lagi.

Timbul persoalan mengenai jumlah ahli sebenar di bahagian Baling yang akan keluar parti ekoran melebihi 279 ahli daripada jumlah sebenar 221 ahli berdaftar.

Sumber dalaman parti yang enggan mendedahkan jumlah sebenar, menyebut kepada Malaysia Dateline, sama ada benar dakwaan 500 ahli akan keluar parti, dengan membuktikan bahawa terdapat 500 salinan permohonan keahlian dari Baling di ibu pejabat parti itu.

Tiada ulasan: