Isnin, 27 Mac 2017

10 rumah rosak dilanda puting beliung di Jitra

 Bernama

Angin kencang selama dua minit bukan sahaja menerbangkan keseluruhan bumbung rumah, malah turut merosakkan beberapa bahagian dinding rumah penduduk

JITRA: Kira-kira 10 buah rumah di Kampung Gelong Rambai, Mukim Jeram, Tunjang, di sini rosak teruk ekoran kejadian puting beliung yang melanda kampung itu petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, angin kencang selama dua minit bukan sahaja menerbangkan keseluruhan bumbung rumah, malah turut merosakkan beberapa bahagian dinding rumah penduduk.

Menurut seorang penduduk, Mohd Daud Bakar, 65, angin kuat itu turut menyebabkan bangsal kayu yang menjadi tempat penduduk kampung belajar ilmu persilatan di sini, roboh.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Daud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, berkata ketika kejadian, beliau sedang membaca akhbar, manakala isterinya Robiah Abdullah, 61, dan enam orang cucu berusia setahun hingga lima tahun berada di ruang tamu rumah.

“Saya terkejut apabila pintu rumah diterpa angin kuat hingga saya kena menahan pintu sebelum rebah dipukul angin kencang.

“Ketika itu juga saya dan isteri lari memeluk enam orang cucu di penjuru rumah kerana tidak tahu nak buat apa dan mereka masih kecil, mujur tiada siapa cedera dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sukri Mahmud, 52, berkata beliau kerugian kira-kira RM20,000 apabila perabot dan peralatan elektrik rumah rosak terkena air hujan.

“Saya sedang berehat di atas katil, manakala isteri, Sofiah Abas, 51 dan seorang anak ada di luar rumah, namun dengan tidak semena-mena datang angin kuat hingga menggoncang rumah kami.

“Saya kemudian keluar rumah sambil menjerit kepada isteri untuk menyelamatkan diri sebelum bumbung rumah kami tercabut dan diterbangkan angin,” katanya.

Akibat kejadian itu juga, Sukri cedera pada jari telunjuk kanan selepas menahan bahagian dinding rumah yang jatuh ke arah beliau.

Tiada ulasan: