Ahad, 26 Februari 2017

Syabas pentadbiran baru SPRM

 
Oleh  SUBKY LATIF


SELEPAS Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditinggalkan oleh Tan Sri Abu Kassim, beberapa bulan kebelakangan ini ada saja pegawai tinggi kerajaan dicekup dan dihadapkan ke mahkamah.

Rata-rata yang dicekup itu  melibatkan bukan sekadar puluhan dan ratusan ribu, bahkan juta-juta, berbuah-buah kereta mewah dan rumah-rumah besar adalah perkara biasa.
    
Sekalian yang dihadapkan ke mahkamah belum disabitkan dan menunggu perbicaraan.
    
Bagi berlaku adil kepada sekaliannya dicekup, tidak oleh mereka dikatakan bersalah selagi belum disabitkan oleh mahkamah. Yang belum disabitkan tetap tidak bersalah dan masih ada peluang untuk dibebaskan.
     
Paling besar dan paling gempar kes rasuah yang kita saksikan sejak BPR menjadi SPRM ialah kes mendiang Tan Sri Eric Chia, Raja Perwaja di zaman pemerintahan Tun Mahathir dulu. Mahkamah tidak dapat mensabitkannya.
    
Maka sekalian yang dicekup itu masih ada masa depannya hinggalah kes masing-masing selesai.
    
Apapun adanya cekupan yang banyak itu memberikan gambaran bahawa SPRM  bersungguh, ada keberanian dan seolah-olah lebih kebebasan sekarang.
    
Hingga banyak yang didengar, pentadbiran baru ini lebih baik dari  di bawah Tan Sri Abu Kassim itu. Saya tidak berani membandingkan, tetapi Tan Sri Abu Kassim berpuas hati dengan perkembangan sekarang kerana transformasi yang dimulakannya tahun 2010 dulu sudah dapat berjalan lancer.
    
Semuanya bersemangat dengan amaran Datuk Zulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjayanya sekarang kepada rakyat yang jika terlibat nescaya tidkakan terlepas dari sasaran.
    
Amaran sudah ada sebaik saja agensi membanteras rasuah itu wujud, tetapi memandangkan  tindakan beberapa bulan ini, menyebabkan semua optimis, Datuk Zulkifli dapat menjadi Tan Sri Harun Hashim yang baru. Zaman itu bukan saja ia tidak segan kepada wakil rakyat, bahan Menteri Besar di bawah pentadbiran Tun Razak antara yang terhukum.
    
Manusia itu tidak dilahirkan jahat. Tetapi undang-undang berjalan dalam gelombang yang tidak adil dan pentadbiran yang tidak tegas menjadikan manusia menyeleweng, hingga dalam masyarakat penuh rasuah, orang tidak rasuah dikira bodoh.
    
Buat masyarakat yang bosan dengan sistem keadilan sekarang, ragu dengan kejujuran pegawai awam, tetapi lebih tidak percaya kepada wakil rakyat. Wakil rakyat yang rasuah itu ramai, tetapi yang mana yang rasuah tidak dapat dipastikan.
     
Semua sekarang menyuarakan rasa anti rasuah yang tinggi termasuk yang rasuah itu sendiri.  Sekaliannya ghairah dengan tidnakan SPRM sebulan dua ini. Kerana rasuah itu sudah dirasakan jadi darah daging kebanyakan orang orang, maka semuanya menunggu lebih ramai yang dicekup rasuah.
    
Yang baru dicekup itu terasa macam banyak. Memandangkan persepsi kita sudah bergelumang teruk dalam maksiat itu, maka tangkapan setakat ini dirasakan sikit, tak padan dengan imej rasuah pada masyarkat itu. Eloknya hari-hari ada tangkapan, barulah setiap yang maksiat itu berdepan dengan keadilan.
   
Yang tertangkap tidak seestinya salah. Tetapi dengan  ruang bertindak dirasakan lebih bebas, maka perkembangan dikira suatu yang baik.
    
SPRM dipercayai ada visa untuk menyoal dan menahan siapa saja yang maksiat rasuah. Dia dunia yang bebas dan adilnya tinggi, Presiden dan Perdana Menteri tidak kebal pantauan pembanteras rasuah.
    
Wakil rakyat kita sudah diberi amaran. Yang ditanya semua dapatkan SPRM menembusi baju besi orang bernama Perdana Menteri dan sekalian yang bergayut padanya. Tidak kita kata PM mesti begitu, tetapi di negeri bersih tiada siapa berbaju besi

Tiada ulasan: