Sabtu, 18 Februari 2017

Skandal SMUE: Khalid anggap pecah amanah

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
SHAH ALAM: Tindakan menyalurkan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu skim khairat kematian untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) kepada ahli Parlimen pembangkang dari luar Se­langor disifatkan sebagai perbuatan pecah amanah dan meng­khianati rakyat.
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ketika zamannya, perkara itu tidak berlaku kerana pihaknya menjalankan audit secara ketat setiap minggu, selain jumlah dana juga dihadkan kepada hanya RM1,000 untuk setiap pengeluaran.
Katanya, jika ada kes-kes terpencil seperti penerima tersebut menetap di Wilayah Persekutuan sebelum 1974 (sebelum pembentukan Wilayah Persekutuan) sekalipun, prosesnya tidak mudah kerana perlu disahkan status pemastautin oleh ketua kampung atau pejabat daerah.
“Itu satu kesalahan (menyalurkan kepada ahli Parlimen luar Selangor), boleh kata pecah amanah. Ini tidak boleh dibenarkan sebab duit khairat kematian ini adalah duit rakyat dan hanya yang bermastautin layak menerima. Pada saya, ini mengkhianati rakyat.
“Kalau Menteri Besar Selangor sekarang galakkan perkara ini, rakyat boleh bawa perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ke mahkamah kerana menyalahgunakan dana negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membuat laporan kepada SPRM selepas beliau mendapat maklumat terdapat sembilan ahli Parlimen pembangkang mendapat faedah lebih RM10 juta daripada dana khairat kematian itu.
Dalam laporannya itu, Jamal turut menyertakan surat Perbendaharaan Negeri Selangor bertarikh 13 Disember 2013 yang dihantar kepada seorang Pengurus Cawangan Ambank, bagi memohon pembukaan akaun bank untuk penyaluran dana SMUE membabitkan kesemua sembilan wakil rakyat tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, ketika pentadbirannya, kerajaan negeri memang membenarkan ADUN mengeluarkan dana khairat kematian tetapi jumlahnya tetap dihadkan RM1,000 untuk setiap kali pengeluaran, manakala baki RM1,500 lagi khairat itu akan dibayar kepada penerima oleh pejabat daerah.
“Memang kita bagi kepada ADUN tapi mereka perlu bertanggungjawab, kalau salah ADUN tersebut kena bertanggungjawab, dia tak boleh salahkan mana-mana pihak, kalau salah dia kena bayar sebab kita tidak mahu sistem kebajikan ini rosak akibat tidak amanah,” katanya.
Ditanya apa yang akan dilakukannya jika masih bergelar Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid secara tegas berkata, beliau akan menghentikan perkara tersebut kerana baginya, prinsip amanah dalam sesebuah pentadbiran tidak boleh sesekali dikompromikan.
“Saya hentikan kalau saya tahu kad pengeluaran wang automatik diberikan kepada ahli Parlimen bukan dari Selangor kerana saya tidak mahu wujud konflik kepentingan. Malah, saya sendiri tidak pegang kad itu sewaktu menjadi Menteri Besar dahulu,” katanya.

Tiada ulasan: