Khamis, 23 Februari 2017

Saya mampu tarik lebih ramai hadirin ke Himpunan RUU355, kata Salahuddin

ANTARAPOS.COM

Post Pic


SHAH ALAM: Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa beliau mampu menarik lebih ramai peserta hadir ke Himpunan RUU355, jika beliau menjadi Ketua Pemuda PAS.

Beliau berkata demikian selepas ditanya jumlah kehadiran puluhan ribu ahli PAS ke himpunan di Padang Merbok bagi mendesak pindaan Akta 355 diluluskan di Parlimen, Sabtu lalu.

"Kalau saya jadi Ketua Pemuda PAS, saya boleh bawa lebih daripada itu, kerana saya pernah berada di situ.

"Kalau ikut statistik pada hari terakhir saya meninggalkan pejabat Agung PAS, keahlian hampir sejuta ahli PAS. Itu tidak kita buat pembersihan. Kita ambil sejuta ahli dan yang hadir di Padang Merbok 20,000 orang (sahaja)," ujar Salahuddin dipetik wawancaranya bersama akhbar Sinar Harian.

Himpunan RUU355 yang berlangsung 18 Februari lalu menyaksikan lautan manusia hadir melimpahi Padang Merbok.

Ia diadakan untuk mendesak kerajaan pemerintah menjayakan pindaan Rang Undang-undang bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, selepas 32 tahun tidak berbuat demikian.

Salahuddin berkata, meskipun PAS berjaya memobilisasikan puluhan ribu ahlinya ke himpunan itu, ia tidak menjamin kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"PAS kuat, boleh himpunkan banyak orang tapi pilihan raya tak menang.

"Misalnya, Projek Udang Kerpan. Waktu itu Mohamad Sabu, Timbalan Ketua Pemuda PAS. Saya Exco Pemuda PAS. Kereta terakhir meninggalkan tempat ceramah sebelum azan Subuh, punyalah ramai orang, hampir 50,000. Jalan kampung sesak. Pilihan raya selepas itu, PAS (hanya) menang dua kerusi.

"Di Terengganu, kuliah pagi (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang), berapa batu (jumlah orang). Saya pun pergi dari Johor dahulu. Tok guru Nik Abdul Aziz (Nik Mat) bila kuliah pagi di Pulau melaka, sesak 9ramai orang). Bila pilihan raya, (menang) empat kerusi (sahaj) di terengganu, lima kerusi (sahaja) di Kelantan," ujar Salahuddin.

Amanah sebelum ini berkali-kali menyatakan kesediaannya untuk menggantikan peranan yang ditinggalkan PAS dalam Pakatan Harapan (PH), selepas parti itu memutuskan untuk tidak lagi bertahaluf siyasi dengan DAP dan menolak apa-apa hubungan dengan parti pimpinan Mohamad Sabu itu.

Amanah bagaimanapun masih belum membuktikan kemampuannya walaupun sudah berusia setahun dua bulan.

Pun begitu Salahuddin memberitahu jumlah keahlian dalam Amanah kini mencecah 80,000 orang, mendaftar
160 kawan Parlimen dan 500 cawangan baru mengikut peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS).



Tiada ulasan: