Sabtu, 18 Februari 2017

RUU355 patutnya dititah, bukan dari MP Marang

Jika ia dititah begitu kepada kerajaan baginda dan jika kerajaan itu peka nasihatkan ketua agama perlunya ia diperkasa lalu menyediakan rang-rangnya, tidak perlu MP Marang tampil dengan usul persendirian

Subky Latif

MEMPERKASA perundangan Islam termasuk menaik taraf mahkamah syariah adalah kewajipan dan kepentingan sekalian umat Islam, baik dari Istana yang menjadi ketua agama wahyu itu dan sekalian umat yang megucap dua kalimah syahadat.

Selagi syahadah sekalian tidak batal, maka tanggungjawab masing-masinglah memartabatkan peraturan syariat itu. Jika sekalian tidak mengabaikan obligasi itu nescaya RUU355 yang berada di Parlimen sekarang tiada perdebatan dan prasangka buruk dalam kalangan masyarakat.

Justeru, generasi pertama kemerdekaan tidak peka atas perkara itu, maka menjelang perbahasan usul persendirian MP Marang di Parlimen, baru diadakan wacana membincangkan betapa perlu hal-hal berkaitan agama Islam mesti dirujuk kepada Istana sebagai kedudukannya ketua agama.

Kewajaran Istana atas Islam itu memang demikianlah, supaya Istana itu tidak dilihat sebagai institusi peduli pada tarikh satu Ramadan dan satu Syawal saja. Ia mestilah berdaulat dan dilihat berdaulat.

Kepincangan itu pertama cuai dan negara merdeka mengira Islam itu solat lima waktu dan puasa bulan Ramadan saja. Mendaulatkan Islam sebagai addin tidak menjadi iman kepada semua. Hanya PAS yang menjerit tiada apa erti kemerdekaan tanpa syariah diperkasakan.

Ketika menyerahkan penggubalan perlembagaan persekutuan kepada Suruhanjaya Lord Reid, memperkasa Islam tidak dijadikan agenda utama yang diprogramkan. Memadai Islam jadi agama persekutuan dengan pelaksanaannya amat longgar. Islam ditadbir dan bukan mentadbir. Justeru mahkamah syariah itu telah ada di zaman British, maka diteruskan ia seadanya.

Tahun 1960-an Parlimen menggubal undang-undang menyelaraskan mahkamah syariah dengan penalti yang terpakai hingga hari ini menjadikan ia mahkamah paling rendah. Bukan Islam tidak peduli sangat dengan status rendahnya itu. Padanya hudud sekadar tidak dikehendaki tetapi tidak jelas cara mana ia boleh dipertikai.

Hanya apabila Kelantan meluluskan enakmen syariah 11 yang pelaksanaannya mengandungi hudud, diikuti oleh Terengganu.

Demi melaksanakan di negeri itu memerlukan kerjasama polis dan penjara yang di bawah kerajaan pusat, maka Perdana Menteri Dr Mahathir memberi surat kepada Kelantan menghalang pelaksanaan kerana dikatakan, ia bercanggah dengan perlembagaan adalah tidak sah.

Maka jadi modallah bagi yang menolak perundangan Islam, peraturan Islam mesti mendapat kelulusan Parlimen sekalipun ia tidak menyentuh hak bukan Islam.

Hudud ditolak oleh Umno masa itu atas dalih ia hudud PAS, bukan hudud Islam. Sekarang hudud PAS tidak jadi isu lagi pada akar umbi Umno, tetapi memperkasa mahkamah syariah sudah sepayah memasukkan benang ke lubang jarum.

Jika PM Dr Mahathir dulu hormati saat keputusan demokrasi Kelantan dulu, tidak RUU355 jadi pertelagahan dan dilema kepada semua.

Hudud kini sudah jadi barang yang dilupai oleh pemerintah. Seperti lupanya Islam baka kepada solat dan puasa. Tetapi umat yang prihatin merasai penting mahkamah syariah diperkasakan bagi mencegah menular fahaman sesat pluralisma dan liberalisma Islam.

Ia isu umat, tidak sekadar isu politik. Justeru umat itu tidur belaka – dari pacal yang buta huruf dan buta Quran hingga ke puncak Istana, terpaksa orang politik bertindak.

Jika Raja-Raja sebagai ketua agama Islam gerakkan ia seperti Raja Melaka sebelum diusir Peringgi dulu, maka bukan sekadar mahkamah syariah tinggi dari yang lain, bahkan perundangan Islam itu sendiri perkasa dan berdaulat.

Jika ia dititah begitu kepada kerajaan baginda dan jika kerajaan itu peka nasihatkan ketua agama perlunya ia diperkasa lalu menyediakan rang-rangnya, tidak perlu MP Marang tampil dengan usul persendirian

Tiada ulasan: