Sabtu, 18 Februari 2017

RUU Hadi: Soalan Tuan Ibrahim pada MCA, DAP

Alyaa Azhar


Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mahu tahu sama ada MCA dan DAP benar-benar menyokong titah bekas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sidang Parlimen tahun lepas supaya mahkamah syariah diperkasakan.

Dalam ucapannya di pra-ceramah perhimpunan Akta 355 malam tadi, Tuan Ibrahim berkata semua anggota Parlimen, termasuk menteri MCA dan pemimpin DAP, menerima sebulat suara titah Seri Paduka itu.

"Sepatutnya kalau mereka terima sebulat suara, tidak timbul penentangan (terhadap rang undang-undang ahli persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Kenapa tiba-tiba tentang bila hasrat dalam titah tersebut diterjemahkan dalam bentuk tindakan," soal Tuan Ibrahim.

"Sebab itu kita pertikai balik betul ke sokong titah diraja, atau mereka bohong.

"Kalau menteri MCA terima sebulat suara, kenapa tiba-tiba mereka tentang bila kita cuba ketengahkan apa yang dititahkan (bekas) Agong," tegasnya lagi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengimbau pertemuan antara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kepimpinan parti itu tidak lama sebelum beliau meninggal dunia.

"Beliau rasa sangat terkilan 25 tahun jadi menteri besar, hukum Allah tidak berjalan atas bumi Allah," katanya.

Mengenai perhimpunan Akta 355 petang ini, Tuan Ibrahim memberi amaran kepada mereka yang cuba mengganggu perhimpunan tersebut.

"Kita akan ambil gambar mereka dan serahkan pada polis," tegas beliau.

Sementara itu, katanya, beliau sangat berharap agar anggota Parlimen, khususnya MP Islam, akan menyokong RUU 355 di persidangan Parlmen Mac depan.

"Rakyat perhati seorang demi seorang MP. Kita nak tengok siapa yang sokong, siapa yang tidak sokong.
"Jangan bawa hasrat sendiri. Rakyat hantar mesej, tolong sokong RUU 355, kami pilih kamu...," tambahnya

Tiada ulasan: