Selasa, 21 Februari 2017

Polis bersenjata perketat kawalan di HKL

MALAYSIAKINI


Anggota polis bertopeng dengan bersenjatakan senapang automatik dikesan sedang memperketatkan kawalan di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Jasad Kim Jong-nam, abang tiri kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong-un yang mati dibunuh minggu lali sedang menjalani bedah siasat dan disimpan di sana.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan menjelaskan kawalan rapi oleh sepasukan polis itu  adalah berikutan laporan polis bahawa terdapat dua individu yang berlegar-legar di kawasan sekitar secara mencurigakan.

Katanya, berikutan itu, pihak polis meningkatkan kawalan keselamatan termasuk menggerakkan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

“Pada 20 Februari, jam 9.56 malam, pihak keselamatan Hospital Kuala Lumpur telah membuat laporan polis berkaitan dua orang individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan yang berlegar-legar di dalam kawasan berhampiran Jabatan Forensik Hospital (IPFN) Kuala Lumpur dalam keadaan mencurigakan.

“Dengan mengambil kira faktor keselamatan dan situasi semasa, pihak polis telah meningkatkan kawalan keselamatan dengan mengatur gerak elemen-elemen di dalam PDRM termasuk STAFOC untuk berkawal di kawasan persekitaran Jabatan Forensik Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut ACP Mohd Sukri, hasil daripada siasatan, pihak polis telah merakam percakapan seorang individu lelaki warganegara Korea Selatan yang adalah wartawan Korea Broadcasting System.

Katanya, lelaki itu mempunyai pas media yang sah dan selepas dirakam percakapannya, lelaki tersebut telah dibenarkan pulang.

Pihak polis sedang mengesan seorang lagi iaitu individu wanita bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyean 447 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati puluhan petugas media tempatan dan luar negara berada di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kehadiran itu mencuri tumpuan orang awam dan para petugas hospital yang melalui kawasan berkenaan dengan rata-rata mereka dilihat memperlahankan kenderaan selain merakamkan gambar media yang berkumpul bagi mendapatkan perkembangan terkini kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Bagaimanapun, media hanya dibenarkan berada di hadapan IPFN dan kawasan berkenaan dikawal rapi oleh sepasukan polis bantuan.

Para petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di IPFN sejak 5 petang semalam bagi menunggu kehadiran anak Jong-nam iaitu Kim Han-sol, 21, yang dilaporkan akan hadir ke IPFN untuk membuat pengecaman mayat dan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan polis memerlukan sampel DNA daripada waris mangsa bagi melengkapkan siasatan dan mayat hanya akan diserahkan kepada warisnya.

Polis juga memberi masa selama dua minggu kepada waris Jong-nam untuk menuntut mayat mendiang yang kini ditempatkan di IPFN.

Jong-nam mati pada 13 Feb lepas ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau sebelum itu dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.

Tiada ulasan: