Rabu, 22 Februari 2017

Petani boleh mohon tanah rizab tanaman kontan


OLEH HAFIZAN TAIB

SABAK BERNEM: Petani di Selangor boleh memohon kawasan tanah rizab kerajaan bagi tujuan pertanian iaitu tanaman kontan.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Selangor menggalakkan petani berbuat demikian mereka dapat mengusaha dan memajukan pertanian di negeri ini.

“Kita menggalakkan petani memohon Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk kategori tanaman kontan bagi kawasan bawah lima ekar di pejabat daerah dan tanah.

“Jika lebih daripada itu, maka ia perlu dibawa ke peringkat negeri atau mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES),” katanya ketika Majlis Ramah Mesra bersama Pekebun Kecil Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Katanya, petani boleh merujuk terus kepada pejabat daerah dan tanah berhampiran bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri turut merangka program Ladang Smart Selangor dengan mengenal pasti tanah kerajaan sedia ada untuk diwartakan bagi tujuan itu.

“Kita akan tawarkan kepada mereka yang berminat menjayakan program ini, namun ia masih di peringkat awal termasuk mengenal pasti kawasan tanah,” katanya.-AA-

Tiada ulasan: