Selasa, 21 Februari 2017

Pemuda MIC saran tubuh ‘task force’ siasat kematian lokap

Berita Daily Staff
 
 
Sehingga kini sebanyak 243 tahanan mati di lokap atau dibawah tahanan pihak polis. Tetapi, tiada pihak dipersalahkan, kata K Arvind

KUALA LUMPUR: Pemuda MIC hari ini menyaran Kerajaan Persekutuan supaya menubuhkan satu ‘task force’ untuk menyiasat berhubung kematian-kematian tahanan dalam lokap yang semakin merisaukan.

Menurutnya lagi, masanya sudah tiba untuk pihak polis memberi ruang kepada pihak lain (task force) untuk menyiasat kesemua kematian tahanan dalam lokap.

“Statistik menunjukkan jumlah kematian tahanan dalam lokap amat merisaukan. Sehingga kini sebanyak 243 tahanan mati di lokap atau dibawah tahanan pihak polis. Tetapi, tiada pihak dipersalahkan,” kata Arvind Krishnan, Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan kepada Berita Daily.

“Setahu saya, tiada pegawai polis dijatuh hukuman bagi sebarang kematian tahanan dalam lokap. Setiap kali adanya kematian tahanan dalam lokap, pihak polis memberi pelbagai alasan seperti jatuh dilantai, membunuh diri, mati semasa cuba melarikan diri.

“Tetapi, pihak polis yang perlu bertanggungjawab ke atas kematian seorang tahanan dalam lokap kerana mereka ini dibawah penyeliaan polis,” tambahnya.

Arvind juga bercadang, ‘task force’ yang dimaksudkan boleh merangkumi pihak tentera, hakim dan pihak berkuasa kerajaan yang lain kecuali polis.

“Bagaimana kita nak percaya pihak polis sedangkan sejarah menunjukkan pihak polis agak berat sebelah ketika melibatkan kematian tahanan dalam lokap?”

Ujarnya, Malaysia telahpun mempunyai akta atau undang-undang yang mencukupi untuk menyiasat kes-kes sebegini.

“Kita cuma perlu satu ‘task force’ yang seimbang,” tegasnya.

“Apa salah menubuhkan ‘task force’, kalau pihak polis tidak membuat sebarang kesalahan, maka mereka tidak perlu takut,” jelasnya lagi.

“Kita tidak boleh bersabar lagi. Kita(MIC) telahpun membangkitkan dan menyerahkan memorandum berkenaan isu kes kematian di lokap. Tetapi, masih tiada satu penyelesaian yang sempurna,” kata beliau

Tiada ulasan: