Jumaat, 24 Februari 2017

Menteri ramal PRU14 pertengahan tahun ini

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
KUCHING: Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mungkin diadakan pertengahan tahun ini.
 
“Saya tidak tahu tarikh pilihan raya umum, tetapi saya percaya ia akan diadakan tidak lama lagi, mungkin pada Mei, Jun, Julai atau Ogos,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Sarawak 2016, semalam.
 
Beliau yang dipetik The Borneo Post menjangkakan Barisan Nasional (BN) Sarawak boleh memenangi sekurang-kurangnya 29 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU14.
 
“Berdasarkan rekod sebelum ini dan analisis trend di Sarawak, BN bukan sahaja akan kekal (sebagai kerajaan pemerintah) tetapi Sarawak akan memberi sumbangan besar kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum,” katanya dipetik The Borneo Post.
 
Laporan itu memetik beliau sebagai berkata, rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mengekalkan kerajaan sedia ada yang boleh melindungi hak dan keistimewaan Bumiputera atau kerajaan pimpinan DAP yang menekankan kesamarataan untuk semua kaum.
 
“Kerajaan pemerintah hari ini menjaga Bumiputera dengan baik, khasnya menerusi dasar melindungi hak dan keistimewaan mereka tanpa menghalang atau mengehadkan kaum lain daripada berjaya di negara ini.
 
“Atau mungkin rakyat lebih suka ‘kerajaan pimpinan pihak lain yang akan menafikan hak Bumiputera,” soalnya.
 
The Borneo Post memetik beliau sebagai berkata: “Daripada 2 pilihan itu, saya rasa kita tiada pilihan…Jika kita mahu mengekalkan hak Bumiputera, kita perlu mengekalkan kerajaan BN.”
 
 

Tiada ulasan: