Rabu, 22 Februari 2017

Kerajaan harus rumus, selesaikan segera tragedi kematian 'Kim Chol'

Dr Sulaiman Mohd NorDr Sulaiman Mohd NorNaib Pengerusi Amanah Johor Dr Sulaiman Mohd Nor mendesak kerajaan segera merumuskan dan menyelesaikan isu pembunuhan mangsa yang menggunakan nama samaran 'Kim Chol' yang digunakan oleh Kim Jong-nam.

Beliau berkata Malaysia sebelum ini pernah dikejutkan dengan tragedi berprofil tinggi seperti isu kehilangan pesawat MAS MH370 dan tragedi MAS MH17 yang ditembak di ruang udara Ukraine.

"Dalam tragedi pembunuhan kita memerlukan rumusan agar tragedi ini dapat dielakkan di masa akan datang.

"Isu pembunuhan Kim Jong Nam juga perlu diselesai dan dirumus dengan segera memandangkan isu ini membabitkan tahap keselamatan negara yang sedang dicabar oleh kuasa-kuasa besar dari luar negara," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau dengan pembunuhan Kim Chol ini Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan.

Justeru ujarnya lagi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mengambil tanggungjawab ini dengan menjelaskan perkara yang sedang berlaku ketika ini.

"Sebagai rakyat, saya berpandangan perkara yang berlaku ini perlu dilapor secara telus dan kerajaan perlu tegas serta segera mengeluarkan kenyataan berpendirian berkenaan isu Kim Chol ini kerana ia membabitkan jenayah antarabangsa yang boleh mengancam keselamatan negara," ujarnya.

Sebagai rekod Jong Nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita dikatakan menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun yang membawa penahanan dua orang wanita.

Jong Nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Pada 19 Februari pihak polis telah mengenalpasti imej tujuh lelaki warga Korea Utara yang disyaki perancang utama kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un itu.

Bagaimanapun empat dari suspek berkenaan, Ri Ji Hyon, O Jong Gil, Hong Song Hac dan Ri Jae Nam telah meninggalkan negara dengan laluan udara ke sebuah negara jiran yang tidak dinyatakan dan pihak polis sedang memburu tiga lagi suspek di negara ini.

Tiada ulasan: