Sabtu, 18 Februari 2017

Kecoh lagi, bas JDT dibaling cat

MALAYSIAKINI


Selepas insiden rusuhan penyokong di Stadium Perak di Ipoh pada perlawanan antara Perak dan JDT musim lalu, provokasi antara kedua-dua pasukan itu berulang lagi.

Menjelang perlawanan kelima Liga Super 2017 malam ini, dua bas skuad Harimau Selatan itu dilapor dibaling cat, pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 4.15 pagi ketika bas berkenaan diparkir di dalam kawasan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) 5 di Sungai Senam, kira-kira 500 meter dari Stadium.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kejadian itu disedari anggota FRU ketika membuat rondaan di kawasan itu.

Katanya, anggota terbabit terdengar bunyi bising di kawasan bas terbabit diparkir sebelum terlihat kelibat dua lelaki yang berada di luar pagar.

"Kedua lelaki itu kemudiannya dilihat melarikan diri menaiki sebuah motosikal dan sebaik pemeriksaan dibuat, didapati bahagian belakang dua bas berkenaan telah dibaling cat," katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Tambah beliau, siasatan polis menemui beg plastik yang telah pecah mengandungi cat ditemui di atas tanah di bahagian belakang bas.

Katanya, suspek berkemungkinan membaling beg plastik mengandungi cat itu dari luar pagar berjarak antara 25 hingga 30 meter dari seberang sungai ke arah bas.

"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat," jelasnya.



Tiada ulasan: