Ahad, 19 Februari 2017

Isu tender Sukan SEA 2017: KBS kata laporan media tak tepat

MALAYSIAKINI


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan isu kepincangan tender peralatan gimnastik untuk Sukan SEA 2017, seperti dilaporkan semalam, adalah tidak tepat.

Ketua Setiausaha KBS Datuk Lokman Hakim Ali berkata mana-mana pihak yang mempunyai keraguan terhadap proses pelaksanaan tender itu boleh membawa perkara itu kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

"Laporan seumpama ini berupaya menyebabkan orang ramai mempunyai persepsi yang tidak tepat dan negatif terhadap urus tadbir dan perkhidmatan awam khususnya di kementerian ini, walaupun realitinya adalah berbeza sama sekali," katanya hari ini.

Beliau mengulas laporan Bernama semalam yang memetik sumber bahawa dipercayai wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa dalam isu tender pembekalan peralatan gimnastik untuk Sukan SEA 2017.

Sementara itu, kenyataan KBS menjelaskan mengenai makluman yang diterima pada 6 Jan 2017 daripada Rukun Juang Sendirian Berhad (RJSB), kontraktor utama Projek KL Sports City, yang turut bertanggungjawab menguruskan tender pembekalan peralatan sukan bagi venue itu.

Makluman itu yang diterima sebelum tender dianugerahkan kepada mana-mana pihak, menyatakan bahawa syarikat itu, yang berada di tangga teratas senarai pendek penilaian tender tersebut, mempunyai percanggahan kepentingan dalam perkara itu serta mencadangkan agar tender itu dibatalkan dan tender perolehan peralatan gimnastik dilaksanakan semula.

"Pembatalan dan pelaksanaan semula proses tender ini juga berpotensi memberi penjimatan yang signifikan kepada kos projek dan kerajaan. Atas kedua-dua sebab yang dikemukakan ini, KBS telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan.

"KBS juga telah, melalui kenyataan terdahulunya, menjelaskan bahawa ia telah mengambil keputusan agar proses perolehan untuk kesemua peralatan sukan bagi KL Sports City dilaksanakan oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku pemilik venue tersebut," kata kenyataan itu.

Keputusan ini adalah satu keputusan pentadbiran yang diambil bagi menambah baik sistem pengurusan KL Sports City, secara khasnya bagi memastikan pelarasan dan kelancaran pembekalan.

Justeru, proses tender bagi pembekalan peralatan gimnastik ini juga akan dilaksanakan oleh PSM, bagaimanapun tender baharu ini masih belum dikeluarkan sehingga ke hari ini.

Berhubung dakwaan 'Bill of Quantities' (BQ) yang dikeluarkan oleh penender dengan menyatakan jenama yang dikehendaki, yang kononnya boleh menjurus kepada ketidakpatuhan syarat, kenyataan itu menjelaskan KBS telah dimaklumkan oleh kontraktor utama bahawa BQ yang turut menyatakan jenama pilihan adalah satu prosedur standard.

"Tender yang dikeluarkan tidak sama sekali menyatakan bahawa hanya jenama tersebut sahaja yang boleh dibekalkan oleh peserta tender tetapi juga jenama lain yang sama standard dengannya, dengan syarat jenama tersebut diiktiraf oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG)," kata kenyataan itu.

Justeru, perkara ini tidak bersalahan dengan Garis Panduan Penilaian Tender yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

KBS dalam kenyataan itu berkata jenama yang disebut dalam BQ adalah jenama peralatan yang digunakan oleh para atlet gimnastik sekarang dan berdasarkan pandangan yang diberi oleh Persatuan Gimnastik Malaysia, pembekalan peralatan baharu pada jenama yang sama atau jenama yang sama standard dengannya akan dapat mengurangkan masalah penyesuaian para atlet dengan peralatan baharu tersebut.
- Bernama


Tiada ulasan: