Sabtu, 18 Februari 2017

Hanya penjenayah, tauke judi takut RUU355

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) berkata tiada sebab untuk rakyat Malaysia, termasuk orang bukan Islam takut kepada pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) (RUU 355).

Pengerusinya, N Balasubramaniam berkata orang bukan Islam tidak perlu takut kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama untuk penganut agama lain.

“Mereka yang takut ialah sama ada penjenayah atau tauke judi, takut kehilangan pelanggan beragama Islam,” katanya ketika berucap di Himpunan RUU355 di Pandang Merbok yang berlangsung hari ini.

Himpunan RUU355, yang menjadi himpunan politik pertama untuk 2017, dianjurkan PAS dan beberapa kumpulan Islam bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.

Seorang lagi penceramah bukan Islam, Sivan juga memberi ucapan bernada sama, dengan berkata ia tidak berkaitan dengan “orang Kristian dan Hindu”.

“Kita tidak boleh menyekat hak orang Islam (untuk memperkasakan mahkamah syariah).

“(Orang bukan Islam) yang tidak menyokong usaha ini boleh datang berjumpa saya, dan saya akan terangkan RUU ini tidak akan mengganggu hidup mereka,” katanya yang mewakili Persatuan Penceramah Bukan Islam Barisan Nasional (BN).

Antara kritikan terhadap usaha PAS itu ialah ia akan turut memberi kesan kepada orang bukan Islam di negara ini.


Tiada ulasan: