Jumaat, 17 Februari 2017

Guna aset agama untuk politik: DAP gesa Jamal disiasat

Berita Daily Staff
 
 
Pemimpin DAP menggesa agar siasatan dijalankan berhubung perkara itu memandangkan rakyat Selangor sering diingatkan untuk tidak mempergunakan kepentingan keagamaan di medan politik

KUALA LUMPUR: DAP menggesa agar pihak berkuasa agama di Selangor menyiasat sama ada pemimpin Gerakan Baju Merah Jamal Md Yunos menggunakan aset-aset untuk kegunaan umat Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San menggesa agar siasatan dijalankan berhubung perkara itu memandangkan rakyat Selangor sering diingatkan untuk tidak mempergunakan kepentingan keagamaan di medan politik.

“Justeru itu, adalah menjadi persoalan orang ramai apabila kelihatan sebanyak 16 van jenazah mengiringi Jamal dalam protes anjurannya dua hari lalu, iaitu sama ada aset-aset institusi agama Islam telah diperalatkan oleh orang-orang politik seperti Jamal daripada Umno untuk kepentingan politiknya sendiri.

“Perkara ini serius kerana rakyat Selangor seringkali diingatkan bahawa institusi agama Islam tidak boleh dijadikan medan berpolitik oleh orang-orang politik dan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenderaan jenazah yang digunakan Jamal ketika berdemonstrasi sudah pastinya merupakan milik masjid dan harus dianggap sebagai aset masjid dan sebahagian daripada institusi dan jentera pentadbiran masjid itu sendiri dan tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan oleh orang-orang politik seperti Jamal untuk agenda politiknya sendiri.

Jamal sebelum ini menganjurkan demonstrasi di perkarangan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menggunakan kenderaan jenazah bagi menyatakaan rasa tidak puas hati berhubung dakwaan salah guna dana Yayasan Warisan Anak Selangor.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam kenyataanya sebelum ini mendapati terdapat unsur manipulasi dan penipuan dalam menggunakan kenderaan jenazah bagi demonstrasi yang dianjurkan Jamal pada 14 Februari lalu.

Pengarah Jais, Haris Kasim berkata, terdapat pihak yang mendakwa dari Gabungan NGO Selangor telah menghubungi pihak masjid untuk menyewa van jenazah bagi tujuan antara lain untuk sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan sebagainya.

“Siasatan awal yang dijalankan oleh pihak Jais mendapati terdapat unsur-unsur memanipulasi dan mengambil kesempatan ke atas pihak pengurusan van jenazah untuk turut sama di dalam demonstrasi tersebut,” katanya, dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan: