Sabtu, 18 Februari 2017

'Biar dia menangis, jangan kita menangis' - Sultan Johor

MALAYSIAKINI


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar meminta ibu bapa supaya memantau pergerakan aktiviti anak-anak mereka serta tidak membenarkan mereka keluar bersendirian pada waktu malam.

Baginda turut bertitah kepada ibu bapa supaya melarang anak-anak mereka bermain di kawasan-kawasan bahaya bagi mengelak kejadian yang tidak dingini.

Sultan Ibrahim bertitah demikian kepada keluarga dan waris mangsa di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru hari ini susulan kejadian lapan remaja berbasikal maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, dekat Johor Bahru awal pagi ini.

"Yang pergi tidak akan kembali, biarkan pergi, ini juga adalah pengajaran kepada ibu bapa untuk tidak membenarkan anak-anak mereka keluar pada waktu malam.

"Biar dia yang menangis, jangan kita menangis. Saya pun ada anak dan dah pergi tak kembali, kalau saya sedih awak sebagai ibu dan bapa kepada mangsa mesti lebih sedih. Ingat pesanan saya," titah baginda kepada keluarga mangsa.

Baginda, yang meluangkan masa lebih kurang 10 minit, kemudian mengucapkan takziah kepada waris mangsa sebelum dilihat mengesat air matanya.

Hadir sama, Imam Makam Diraja Mahmoodiah, Imam Masri Sapiran yang membacakan doa.

Dalam kejadian pukukl 3 pagi itu, dua lagi remaja lelaki masih kritikal manakala enam lagi cedera dan kini dirawat di HSA.

Kesemua mangsa terkorban dan cedera berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Difahamkan, ahli keluarga dan waris mula berkumpul di hadapan bilik mayat HSA seawal 7 pagi.

Menurut sumber, seramai 17 petugas termasuk seorang doktor pakar dan empat pegawai perubatan serta pegawai sokongan HSA terlibat dalam bedah siasat kesemua mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 22 tahun merempuh sekumpulan remaja berbasikal yang sedang berkumpul di Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitarnya.- Bernama


Tiada ulasan: