Selasa, 21 Februari 2017

Belum ada tindakan terhadap Mat Nadzari, kata Hannah

Oleh Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
SHAH ALAM: Tiada sebarang keputusan akan dibuat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada hari ini terhadap ADUN Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan seperti yang diuar-uarkan Umno Selangor kepada media semalam.
 
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor Hannah Yeoh, keputusan itu hanya akan diumumkan pada sidang DUN Mac ini, selepas badan itu berbincang dan mengeluarkan penyata sama ada mahu mengambil tindakan atau tidak dan perlu mendapat kelulusan Dewan.
 
"Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan kata-kata yang diberikan YB Batang Kali semasa pendengaran pada mesyuarat yang lepas saja. 
 
"Seperti yang kita telah jelaskan dalam sidang media mesyuarat yang lepas bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan hanya akan buat satu penyata yang akan dibentangkan dalam sidang yang akan datang. 
 
"Selepas penyata itu dibahaskan dan jika diluluskan baru ada keputusan, keputusan tidak akan dibuat jawatankuasa pada hari ini," katanya kepada media di Lobi SUK hari ini.
 
Semalam media mendapat jemputan bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN akan membuat keputusan terhadap tindakan Mat Nadzari.
 
Ia berkaitan kenyataan Mat Nadzari yang mendakwa bahawa terdapat isi ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.
 
Usul berkenaan telah dikemukakan oleh ADUN Sungai Pinang Datuk Teng Chang Kim pada sidang DUN Selangor pada November tahun lepas.
 
Kata Hannah lagi, penyata yang akan dibawa ke sidang DUN itu nanti akan menyatakan tindakan sama ada Mat Nadzari perlu memohon maaf kepada Dewan, digantung ataupun tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap beliau.
 
Mengulas mengenai notis palsu yang disebarkan kepada media, Hannah berkata badan itu tidak mengeluarkan jemputan kepada media bahawa keputusan itu akan dibuat pada hari ini.
 
"Saya dimaklumkan media ada terima notis hari ini, saya tak pernah hantar media notis. Perkara yang diletak dalam media notis itu memang tidak tepat, (memang) Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan bermesyuarat tetapi kita bukan buat keputusan (hari ini) seperti yang diletakkan dalam surat itu," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: