Ahad, 19 Februari 2017

'Bawa polis, SPRM saya boleh jawab'

 

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan pasukan bertindak khas ditubuh kerajaan bagi menyiasat kerugian negara hasil aktiviti dagangan tukaran matawang asing (forex) pada 1990-an.

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu segera menjelaskan, kesediaan itu dibuat jika kerajaan juga menubuhkan pasukan bertindak khas bagi menyiasat skandal 1MDB serta dana bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

"(Bawa) datanglah polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk jumpa saya, boleh saya jawab, boleh tanya..

"Nak dakwa saya di mahkamah pun OK, tapi dakwa Najib juga," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghadiri majlis sambutan tahun baru Cina di Flet Seri Johor di Cheras.

Turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddn Jaffar.

Malaysiakini pada 15 Februari lalu melaporkan, kerajaan bersetuju menubuhkan satu pasukan petugas khas menyiasat kerugian urus niaga forex oleh Bank Negara pada 1990-an.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat kabinet pada petang berkenaan.

Memang patut ada

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan dan individu yang dihormati serta berpengalaman dalam bidang tertentu.

"Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti," kata kenyataan berkenaan.

Untuk rekod skandal berkenaan berlaku ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Ketika itu seorang daripada pengkritik keras kerajaan akibat kerugian itu ialah pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Kini Lim sendiri menawarkan diri untuk menyertai siasatan kerugian kontroversi berkenaan.

Bagaimanapun, Lim berkata, beliau hanya akan berbuat demikian jika siasatan juga dibuat ke atas skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan 1MDB.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman yang berkata Lim perlu menjadi orang pertama menyokong pasukan petugas khas yang bakal ditubuhkan kerajaan.

Menurut Dr Mahathir, beliau berasa memang wajar ditubuhkan pasukan bertindak khas untuk menyiasat setiap penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan.

"Kita (memang) patut ada task force (tetapi) ini yang nak difikirkan (adalah) yang (berlaku) 40 tahun dulu, yang ada depan mata kita, kita tak ambil peduli.

"Ini duit (yang terbabit) bukan sikit. Kalau BMF hilang pun tak sampai berbilion. Ini (sekarang) masuk poket sendiri RM2.6 bilion, kononnya tok Arab bagi," katanya lagi.

Mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, Dr Mahathir menegur Pemuda Umno yang tidak mendesak diadakan untuk menyiasat skandal melibatkan Najib.

"Ini Najib curi tapi orang tak buat apa-apa. Pemuda Umno pun tak minta diadakan suruhanjaya siasatan diraja," katanya.

Tiada ulasan: