Ahad, 19 Februari 2017

Amanah Sabah minta penjelasan KPDNKK isu kekurangan minyak masak

HASLI HALIDA
 
 
Pengerusi Amanah Sabah Hamzah Abdullah menyerahkan memorandum berhubung isu kekurangan minyak masak di Sandakan kepada KPDNKKPengerusi Amanah Sabah Hamzah Abdullah menyerahkan memorandum berhubung isu kekurangan minyak masak di Sandakan kepada KPDNKK

Parti Amanah Negara (Amanah)  Sabah menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberikan penjelasan mengenai isu kenaikan harga minyak masak serta kekurangan bekalan minyak masak (paket) di daerah Sandakan.

Mutakhir ini, beberapa daerah di Sabah mengalami masalah bekalan minyak masak yang tidak mencukupi.
Daerah-daerah sekitar pantai barat mengalami masalah ketiadaan minyak masak (paket) sejak Januari 2017.
Sebelum ini, KPDNKK Sabah menjelaskan, kebanyakan kilang yang terletak di pantai timur menyukarkan bekalan tersebut tiba di daerah sekitar pantai barat kerana jarak kilang yang jauh.

KPNDKK juga menjelaskan tidak timbul isu kurang pengeluaran minyak masak oleh kilang-kilang di Sabah.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Amanah Sabah Hamzah Abdullah membidas kenyataan tersebut kerana isu kekurangan minyak masak turut berlaku di daerah Sandakan.

"Berdasarkan kajian kami, terdapat lebih 17 buah kilang yang telah di beri lesen oleh MPOB untuk membuat kerja-kerja pembungkusan minyak masak di daerah Sandakan. Demikian juga dengan pengeluaran minyak, berlaku pada setiap hari.

Jadi bagaimana pula daerah Sandakan dan Tawau turut mengalami masalah yang sama seperti di Kota Kinabalu, Kudat dan daerah-daerah lain di Pantai Barat", ujarnya.

Menurut Hamzah lagi, Amanah Sabah menggesa KPDNKK memberikan jawapan bertulis terhadap soalan-soalan yang dikemukakan dalam surat kepada kementerian itu.

"Dalam surat kami pada hari ini, 5 persoalan utama timbul. Pertama, mengapa masalah kekurangan minyak masak timbul di daerah Sandakan sedangkan terdapat banyak kilang minyak di sini. Kedua, berapakah jumlah pengeluaran minyak masak jenis paket di Sandakan ke pasaran tempatan setiap hari.

"Ketiga, mengapa harga minyak masak naik, 100% daripada harga asal. Keempat, siapakah yang bertanggungjawab menyalurkan subsidi minyak masak kepada kilang pembungkusan minyak. Dan yang terakhir, berapa kerapkah serbuan dan pantauan yang telah dilakukan KPDNKK terhadap pekedai-pekedai di Sandakan", katanya semalam.

Surat dan memorandum tersebut diserahkan kepada KPDNKK di pejabat mereka di Sandakan bersama-sama rombongan AMANAH Batu Sapi semalam.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pemuda Amanah Sabah, Khairuddin Daud turut memanjangkan isu ini kepada KPDNKK dengan menghantar surat yang sama kepada Pengarah KPDNKK Sabah di Bangunan Pentadbiran Persekutuan, Kota Kinabalu.

Tiada ulasan: