Rabu, 22 Februari 2017

Amanah lari dari kenyataan, tuduh PAS goyah

 Berita Daily Staff

Mustahil Amanah berjaya menarik separuh ahli PAS untuk menyertai parti itu.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Iskandar Abdul Samad menempelak kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub yang mendakwa parti itu kini berdepan dengan perpecahan.

Malah katanya, Salahuddin membuat dakwaan yang mustahil apabila berkata Amanah berjaya menarik lebih banyak ahli PAS sehingga mengakibatkan parti tersebut kini berada dalam keadaan yang membimbangkan.

“Kenyataan seorang pemimpin Amanah bahawa PAS akan berpecah tidak lama lagi adalah satu pandangan dari orang yang mahu lari dari kenyataan.

“Jika benar Amanah telah menarik separuh dari ahli-ahli PAS kepada parti mereka, maka bilangan ahli Amanah hari ini adalah melebihi 500,000 orang.

“Tetapi kita tidak nampak ini telah berlaku,” jelas beliau dalam kenyataan sambil menggesa agar Amanah tidak lari dari kenyataan dan berpijak di bumi yang nyata,” katanya.

Justeru, Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata Amanah perlu berhenti daripada membuat dakwaan yang tidak masuk akal hanya kerana mahu menutupi kelemahan parti tersebut.

Awal hari ini, Salahuddin mendakwa PAS kini berdepan dengan perpecahan setelah mula menampakkan kerjasama dan hubungan baik dengan Umno.

“Saya boleh katakan hari ini PAS sudah terbelah dua dan sebenarnya sudah berpecah.

“Satu kekuatan yang saya pelajari dengan PAS (dahulu), sekiranya pemimpin itu dilihat benar-benar rapat dengan erti kata lain tidak menganggap Umno sebagai musuh mereka, PAS akan berpecah lagi.

“Saya berani menyatakan PAS akan berpecah dalam beberapa bulan akan datang,” ujar beliau.

Salahuddin terdahulu mendakwa, PAS kini berdepan dengan perpecahan setelah mula menampakkan kerjasama dan hubungan baik dengan Umno selain menerima pertikaian mengenai dasar parti di kalangan ahli parti.

Tiada ulasan: