Jumaat, 24 Februari 2017

Amanah cuba songlap persepsi pengundi?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 

[ULASAN] Di manakah agaknya tempat sesuai bagi Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu bertanding dalam pilihanraya umum akan datang? Yang pasti demi maruah partinya, Mat Sabu perlu bertanding dan menang.

Jika presiden kalah, akan tercemar dan mungkin porak perandalah pengurusan parti. Justeru Amanah dan Mat Sabu perlu mencari kerusi selamat tidak kira di peringkat parlimen mahupun negeri atau, kedua-duanya sekali.

Menurut rekod, sejak 1982 sudah lapan kali Mat Sabu bersaing dalam pilihanraya umum tetapi hanya menang dua kali – Kubang Kerian (1995) dan Kuala Kedah (1999). Sejak itu, sudah tiga PRU berturut-turut Mat Sabu kecundang.

 Dalam ke semua pilihanraya yang ditandinginya, Mohamad Sabu mewakili PAS. Ketika itu imej PAS baik dan Mat Sabu pula mempunyai kedudukan tinggi dalam parti. Namun di sebalik kepetahannya berceramah, menyindir lawan kiri dan kanan, beliau tetap gagal.

Ketika PAS cemerlang dalam Pakatan Rakyat pada pilihanraya 2008 dan 2013, Mat Sabu tidak berjaya menambah bilangan kerusi yang dimenangi untuk parti itu. Isyaratnya ialah rakyat tahu membezakan di antara seorang pemimpin sejati dengan penglipur politik.

Justeru apakah ikhtiar Amanah untuk mengelak aib pemimpin utamanya tidak diterima rakyat sekali lagi? Jawapannya Mat Sabu perlukan semacam jaminan agar beliau tidak boleh kalah lagi.

Kedudukannya dalam Amanah kini belum sah. Beliau menjadi presiden jawatankuasa penaja dan bukan berada di situ kerana dipilih oleh ahli-ahli parti dalam mesyuarat agung tahunan. Lantas jika kalah ia boleh meletakkan Amanah dalam kancah perebutan kuasa.

Pilihan yang ada ialah mendapatkan bantuan dan ehsan DAP. Umum boleh mencongak bahawa DAP berdaya memonopoli banyak kerusi parlimen dan negeri di Pulau Pinang atau kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti bukan Melayu.

Demi setiakawan dan keakraban dengan Mat Sabu, DAP mungkin boleh menawarkan “kerusi selamat” untuk Mat Sabuyang majoriti bukan Melayu atau kawasan di mana peratusan Melayu tinggi sedikit daripada Melayu .

Begitu juga dengan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub. Peluangnya menang dalam pilihanraya umum akan datang juga samar. Beliau pernah menjadi ahli parlimen tetapi itu semata-mata bersandarkan kedudukannya sebagai ahli dan pemimpin PAS.

Beliau juga perlu kerusi selamat. Dalam pilihanraya umum lalu beliau bertanding di kawasan parlimen Pulai, Johor. Beliau juga tewas untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Nusa Jaya.

Sebelum itu, Salahuddin termasuk dalam senarai pemimpin muda yang hendak diasuh oleh PAS untuk menjadi pemimpin pelapisnya dan dicalonkan bertanding di “kerusi selamat” di Kubang Kerian pada PRU 2004 dan 2008, dan menang.

Kini Salahuddin sebagai Timbalan Presiden Amanah akan menghadapi realiti kekuatannya dalam politik. Beliau menang dua kali di Kelantan kerana ketika itu beliau dianggap “anak emas” PAS dan diberikan kerusi “mudah” di kubu PAS itu.

Justeru beliau perlu berhati-hati di mana mahu bertanding kali ini. Jika tiada “jaminan” menang, kedudukannya dalam Amanah pasti tergugat kerana seperti Mat Sabu kedudukannya dalam parti belum sah kerana belum melalui proses pemilihan sebenar.

Kini PRU 14 semakin dekat. Rekod keahlian Amanah di bawah pimpinan kedua-dua mantan ahli PAS ini tidak bertambah berlipat kali ganda seperti yang diharapkan. Sedangkan kedudukan politik kedua-duanya masih “ibarat telur di hujung tanduk”.

Besar kemungkinan, sama seperti Mat Sabu, Salahuddin pun akan terpaksa bergantung harap pada ihsan DAP untuk “menghadiahkan” kerusi selamat untuknya. Namun penyertaan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) dalam barisan pembangkang menggusarkan Amanah.

Dengan aura dan rekod politik cemerlang Tun Dr MahathirMohamad, DAP kelihatan lebih selesa jika keutamaan dan ihsannya itu dicurahkan kepada PPBM, berbanding Amanah.

PKR juga sukar disandarkan harapan kerana selain meninjau kerusi PAS untuk ditandinginya, PKR masih fokus untuk mencatat kemenangan terbesar di kalangan pembangkang kerana ia menawarkan kerusi Ketua Pembangkang dan mungkin juga Perdana Menteri.

Lantas strategi terbaik Amanah untuk melakukan helah untuk menudung kelemahan politiknya ialah dengan menaburkan bibit keraguan terhadap saingannya iaitu PAS. Salahuddin nampaknya berhelah menyembunyikan kegusarannya.

Beliau mengambil kesempatan menggunakan arus perdanauntuk “melindungi” kelemahan partinya dengan menanamkan virus keyakinan bahawa sokongan rakyat pada PAS semakin merosot dan meramalkan PAS berpecah lagi kerana mendekati Umno.

Sifir yang digunakan mudah. Beliau mendakwa apabila beliau dan 17 rakannya keluar PAS, parti Islam itu terbahagi dua. Lima puluh peratus keluar dan 50 peratus lagi tinggal dalam PAS. Ertinya ahli Amanah sepatutnya lebih 500,000 hari ini. Begitu juga PAS.

"Kami dah bawa separuh (perpecahan dalam PAS), yang pecah akan bawa suku lagi. Itu bonus buat kami. Jangan terkejut jika Amanah boleh perintah Kelantan,” katanya dalam wawancara dengan akhbar arus perdana berkenaan.

Soalnya, adakah itu satu kenyataan? Jika benar, tentu Amanah yang memang “lapar publisiti” itu sudah lama menjaja statistik ini ke seluruh pelosok negara.

Anehnya mengikut pengakuan Salahuddin, Amanah yang berusia setahun dua bulan kini mempunyai lebih kurang 80,000 ahli. Walhal Amanah dilancarkan pada 16 September 2015 kini sepatutnya berusia satu tahun lima bulan.

Malah pada majlis pelancaran itu parti itu, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir, mengunjurkan menjelang akhir tahun 2015, keahlian Amanah mencapai 100,000 orang. Kini Timbalan Presidennya mengakui bahawa ahli partinya “lebih kurang 80,000 sahaja”.

PAS mengaku penghijrahan keluar ahli dari parti itu memang berlaku. Itu jujur. Namun PAS kini mendakwa sudah kembali mencatat pertambahan ahli baru.

"Bagi kami ia bukan perkara yang membimbangkan. Penerimaan masyarakat terhadap PAS semakin baik, malah kami menerima 80,000 ahli baru dari 2015 hingga hari ini,” kata Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Menurutnya, tidak timbul soal perpecahan apabila PAS dilihat mempunyai hubungan baik dengan Umno. Ini kerana pada Februari tahun ini sahaja PAS menerima 5,431 ahli baru.

Sekalipun Salahuddin dan partinya mahu melancarkan perang saraf terhadap PAS, lakukanlah dengan jujur dan amanah. Bukankah Amanah mendakwa ia parti Islam?


Tiada ulasan: