Selasa, 28 Februari 2017

200 saksi akan beri keterangan kes rasuah Jabatan Air Sabah

 BERNAMA

Wang tunai yang dirampas dipercayai dimiliki secara salah oleh bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Wang tunai yang dirampas dipercayai dimiliki secara salah oleh bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah

Kira-kira 200 saksi dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas pengarah Jabatan Air Sabah dan dua yang lain di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu yang menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.48 juta.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Husmaruddin Hussin memberitahu Hakim Abu Bakar Manat pada prosiding hari ini, terdapat kemungkinan tidak semua saksi dipanggil memberi keterangan.

Beliau juga berkata pihak pendakwaan telah menyerahkan kepada pihak pembelaan dokumen berkaitan dalam bentuk cakera padat (CD) dan menjemput peguam bela tertuduh untuk hadir ke pejabat SPRM Sabah sekiranya mereka mahu memeriksa dokumen asal.

Peguam PJ Pereira dan Baldev Singh membuat permohonan untuk meneliti dokumen berkenaan di pejabat SPRM, dua bulan sebelum perbicaraan bermula.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan bermula 4 Julai hingga 28 Julai dan 8 Ogos hingga 25 Ogos.

Abu Bakar berkata sebarang perubahan tarikh perbicaraan boleh dibuat pada hari terakhir pengurusan kes iaitu 4 Mei, susulan permohonan pihak pembelaan untuk meneliti dokumen sebenar dua bulan sebelum tarikh perbicaraan.

Pada 29 Disember tahun lepas, bekas pengarah JANS itu, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, mengaku tidak bersalah terhadap lapan tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam empat akaun bank, dua tuduhan memiliki secara salah enam kenderaan mewah dan satu tuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersama-sama isterinya, Fauziah Piut, 51, terhadap dua tuduhan memiliki secara salah barang kemas, manakala Fauziah dikenakan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah Lim Lam Beng, 62, yang digantung tugasnya, menghadapi satu tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan tiga tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman sehingga lima tahun penjara atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit pertuduhan.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili Pereira dan Hairul Vaiyron Othman manakala Baldev dan Karpaljit Singh mewakili Lim.

Tiada ulasan: