Khamis, 19 Januari 2017

Tak pelik jika sistem pendidikan negara dipertikai

Tak pelik jika sistem pendidikan negara dipertikai

SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa (AJK) Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Halimah Ali tidak hairan sekiranya ada yang berani tampil bersuara mempertikai sistem dan dasar pendidikan negara.

Menyifatkan memang ada yang ‘tidak kena’ dengan sistem pendidikan negara, Halimah berkata, kerajaan sepatutnya meneliti dan membuat analisis dasar pendidikan negara agar seiring dengan kemajuan pembangunan dan intelek masyarakat dunia pada hari ini.

“Saya akui sememangnya kualiti pendidikan di negara kita agak membimbangkan. Asal tujuan pendidikan tinggi sepatutnya dilengkapkan dengan ilmu kemahiran untuk berdikari dan menyara diri.

“Pendidikan tinggi juga bertujuan membina jati diri setiap individu di negara ni untuk menjadi penyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Haliman mengulas pandangan oleh seorang profesor dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat yang mendakwa kualiti lepasan ijazah di Malaysia dan Indonesia setaraf dengan pelajar sekolah menengah di Denmark.

Profesor Lant Pritchett seperti dilapor sebuah portal tempatan, sebelum ini melakukan kajian pendidikan di Indonesia dan mendapati terdapat persamaan kelemahan di kalangan graduan kedua-dua negara.

Difahamkan, kajian dilakukan ke atas graduan di Indonesia dari segi tahap celik, pemikiran kreatif dan aspek lain. Hasilnya sama dengan pelajar tercicir di peringkat sekolah menengah rendah di Denmark dan pelajar Malaysia.

Mengulas lanjut, Halimah yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Selangor berkata, dasar pendidikan negara perlu diubah secara total bagi memastikan masyarakat di masa hadapan tidak terlalu bergantung hidup dengan kerajaan.

“Bertahun-tahun belajar daripada sekolah tadika, kemudian sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu universiti dan kolej. Tetapi untuk apa?

“Mereka ini perlu kenal pasti dan diajar dengan ilmu kemahiran supaya tidak perlu terlalu bergantung dengan kerajaan,” katanya lagi

Tiada ulasan: