Selasa, 10 Januari 2017

Serbuan SPRM ke Pejabat Ketua Menteri Melaka, apa penjelasan Idris Haron?

OLEH SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN

 SPRM

Saya mengalu-alukan tindakan SPRM membuat serbuan ke atas Pejabat Ketua Menteri Melaka, Seri Negeri petang semalam walaupun masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian sama ada “jerung” atau “bilis” yang akan diambil tindakan.

Menurut laporan media, serbuan SPRM itu dibuat sebagai langkah susulan siasatan kes rasuah membabitkan pegawai kerajaan negeri.

Serbuan SPRM ini bukanlah satu tindakan yang memeranjatkan memandangkan pada 28 November yang lalu seorang pegawai kanan kerajaan negeri telah ditahan oleh SPRM dan akaun berjumlah sebanyak RM23 juta telah dibekukan.

Pegawai kerajaan yang ditahan itu dikatakan seorang yang rapat dengan Ketua Menteri. Bukan itu sahaja, beliau juga pernah berkhidmat bersama dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Ini menimbulkan persoalan sama ada pegawai berkenaan telah melakukan amalan rasuah sejak Ali Rustam menjadi Ketua Menteri sehingga ke hari ini.

Apakah ada juga penglibatan pegawai-pegawai atau orang-orang kanan Idris yang lain memandangkan petikan laporan media berkenaan juga melaporkan orang-orang kanan Idris turut disiasat?

Saya mendesak YAB Datuk Seri Utama Idris Haron untuk tampil segera membuat penjelasan secara terperinci mengenai serbuan SPRM ke atas pejabat beliau bagi menangkis persepsi umum bahawa terdapatnya amalan rasuah yang berleluasa sekarang.

KEADILAN Melaka mengajak pegawai-pegawai kerajaan negeri yang berani untuk tampil menjadi “whistleblower” dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan rasuah dan penyelewengan kepada kami.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
AHLI PARLIMEN BUKIT KATIL
PENGERUSI MAJLIS PIMPINAN NEGERI PARTI KEADILAN RAKYAT MELAKA
NAIB PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT

Tiada ulasan: