Khamis, 19 Januari 2017

Rasuah: Lagi ‘Datuk’ ditahan SPRM

Rasuah: Lagi ‘Datuk’ ditahan SPRM
SPRM tahan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif bergelar Datuk dan Pengurus Jualan Antarabangsa sebuah syarikat GLC kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif bergelar Datuk dan Pengurus Jualan Antarabangsa sebuah syarikat GLC kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam projek E-Pasport melibatkan kerajaan sebuah negara di Benua Afrika sejak 2013.

Kedua-dua suspek yang berusia 58 dan 36 tahun itu ditahan di kediaman masing-masing kira-kira jam 12 tengah hari menerusi Op Guinea yang dilancarkan SPRM hari ini.

Suspek bergelar Datuk itu ditahan di kediamannya di Tropicana Indah, Petaling Jaya manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di Taman Desa, Jalan Kelang Lama.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai telah melakukan kegiatan itu antara 2013 hingga 2015 dengan menyalahgunakan kedudukan mereka untuk meminta rasuah daripada pemilik sebuah syarikat swasta dari luar negara menerusi projek E-Pasport.

Jelas sumber, syarikat-syarikat GLC tersebut telah menandatangani satu perjanjian dengan kerajaan negara itu bagi tempoh 15 tahun untuk menyediakan permohonan E-passport.

Kos bagi setiap E- passport yang dihasilkan ialah USD$46 dan syarikat tersebut perlu membayar sebanyak USD$23 daripada jumlah tersebut kepada kerajaan negara terbabit.

Bagi memudahkan urusan, syarikat tersebut dikatakan telah melantik sebuah syarikat swasta di negara tersebut sebagai ‘local partner’ yang satu perjanjian telah ditandatangi yang mana USD$5 akan dibayar kepada syarikat ‘local Partner’ tersebut bagi setiap E-passport yag dihasilkan sebagai bayaran perkhidmatan.

Walau bagaimanapun, sebelum menandatangani perjanjian itu, Datuk tersebut telah berjumpa dengan pemilik syarikat ‘local partner’ itu dan memintanya untuk membayar USD$1 daripada USD$5 yang dibayar kepada syarikatnya dengan memberi alasan bagi menjaga nama baik syarikat swasta berkenaan termasuk menjamin kontrak perjanjian antara kedua-dua syarikat bagi Projek E-Pasport akan berterusan sehingga tamat tarikh konsesi tanpa disabotaj.

“Pemilik tersebut telah akur kepada permintaan tersebut kerana enggan melepaskan kontrak yang telah diberikan kepadanya oleh syarikat GLC terbabit,” tambahnya.

Kata sumber, kedua-dua suspek itu akan meminta pemilik syarikat swasta itu menerima bayaran tersebut secara tunai dengan menandatangani surat pengesahan pembayaran, sedangkan wang tersebut tidak pernah diterima oleh pemilik syarikat tersebut.

Tambah sumber, hasil siasatan awal kedua-dua suspek yang telah berkhidmat di GLC tersebut hampir 7 tahun disyaki telah menerima wang rasuah kira-kira RM500,000 yang mana ia melibatkan mata wang Euro dan USD.

SPRM juga telah membekukan beberapa akaun milik Datuk, isteri dan anaknya yang mengandungi wang kira-kira RM1 juta.

Kedua-duanya ditahan bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Difahamkan, Felda Investment Corporation (FIC) Sdn. Bhd. juga memegang hampir 25% saham syarikat GLC tersebut yang mana ia melibatkan nilai kira-kira RM200 juta sejak tahun 2013.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, SPRM memandang serius perkara ini kerana syarikat GLC tersebut mempunyai akses kepada rahsia berhubung kait dengan negara ini.

Beliau berkata, perkara tersebut amat membimbangkan kerana suspek-suspek ini kemungkinan akan mendedahkan maklumat-maklumat tersebut semata-mata untuk mendapatkan ganjaran.

“SPRM meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung perbuatan kedua-dua suspek ini untuk tampil membantu siasatan,” ujar beliau ketika dihubungi.

Kedua-dua suspek tersebut dijangka akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.


Tiada ulasan: