Ahad, 22 Januari 2017

Polis tahan 39 lelaki tempatan berbogel di pusat peranginan Bentong



ISMA WEB
 

Sumber foto: Sinar Harian

BANGI – Polis menahan sekumpulan lelaki yang bertindak melampau kerana berbogel dalam satu aktiviti sukan di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang, semalam.

Tiga puluh sembilan individu yang ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam, berumur antara 19 hingga 23 tahun.

Memetik laporan Sinar Harian, dalam kejadian jam enam petang itu, kumpulan lelaki terbabit dikatakan sedang melakukan aktiviti dalam sebuah kem motivasi yang dianjurkan oleh sebuah syarikat swasta.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 6.12 petang berhubung tindakan kumpulan lelaki terbabit.

“Terdapat 39 orang peserta yang berumur antara 19 hingga 23 tahun yang menyertai kem motivasi ini dan 9 orang lagi merupakan wakil syarikat untuk menyelia program motivasi tersebut.

“Menurut kata ketua penyelia aktiviti, pada jam lebih kurang 5.30 petang semasa berada di permainan, peserta sedang bermain satu permainan yang dinamakan ‘All Out’ di mana para peserta yang sudah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dikehendaki membuat garisan panjang dengan menggunakan alatan yang ada terlekat pada badan peserta.

“Semasa permainan ada para peserta mulai menanggalkan pakaian untuk membentuk garisan panjang dan menyebabkan keadaan berlarutan sehingga para peserta mula menanggalkan keseluruhan pakaian di badan mereka dan berbogel,” katanya.

Katanya, pihak Resort dimaklumkan mengenai atur cara program yang dijalan, namun ia tidak menyatakan secara lanjut mengenai jenis aktiviti.

“Seramai 39 peserta telah ditahan, termasuk sembilan wakil syarikat dan fasilitator bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih lagi diteruskan,” katanya.


Tiada ulasan: