Selasa, 17 Januari 2017

Polis jawab tuduhan Khalid Samad

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menafikan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bahawa suspek utama dalam kejadian rusuhan di luar lobi Parlimen pada 24 November lalu tiada dalam sesi kawad cam yang diadakan polis pada 10 Januari lalu.
 
Rasa tidak puas hati Ahli Parlimen itu dilaporkan sebuah portal media, semalam. Susulan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, melalui satu kenyataan media hari ini, menjelaskan dua kawad cam diadakan berhubung kes itu iaitu pada 13 Disember 2016 dan 10 Januari lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul.
 
"Khalid hadir dalam sesi kawad cam yang diadakan pada 10 Januari dan dalam sesi kawad cam itu, dua suspek dicam daripada 11 orang yang mengambil bahagian termasuk anak kepada Timbalan Menteri melainkan seorang lagi suspek yang belum dikenal pasti," katanya.
 
Sesi kawad cam itu dilakukan dengan sempurna mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan serta turut dihadiri oleh peguam kedua-dua pihak.
 
Justeru, katanya pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai kenyataan itu dan tidak membuat spekulasi hingga siasatan selesai.
 
Pada 24 November lalu satu kejadian merusuh berlaku di luar Parlimen membabitkan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dengan Ahli Parlimen Shah Alam.
 
Susulan itu, lapan lelaki dan tiga wanita berumur antara 28 dan 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
 
 

Tiada ulasan: